Anda di sini

32 warga asing, dua lelaki tempatan ditahan

Advertisement
SEBAHAGIAN tangkapan yang ditahan semasa Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan yang dijalankan IPD Kinabatangan.
SEBAHAGIAN tangkapan yang ditahan semasa Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan yang dijalankan IPD Kinabatangan.

KINABATANGAN: Seramai 32 warga Filipina dan Indonesia ditangkap dalam Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan yang dijalankan IPD Kinabatangan di Kilometer 80 Jalan Sandakan-Lahad Datu kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A.Sahak Rahmat berkata, operasi bersama Jabatan Imigresen dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kinabatangan bermula jam 9 malam pada 29 Jun hingga 1 pagi pada 30 Jun, turut menahan dua lelaki tempatan disyaki mengambil dadah jenis syabu.

Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai Ketua BSPT IPD Kinabatangan Insp Burhan Masri bersama lima anggota, dua anggota IKA, dua anggota JSJN dan seorang pegawai, serta lapan anggota Imigresen.

"Warga asing yang ditangkap terdiri 11 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tujuh lagi kanak-kanak perempuan, manakala dua lelaki tempatan yang ditahan kerana dadah masing-masing berumur 30 dan 32 tahun," katanya.

Katanya, hasil ujian saringan awal polis mendapati urin dua lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Sahak berkata, tangkapan tiada dokumen pengenalan diri telah dirujuk ke Jabatan Imigresen Sandakan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala dua lelaki yang ditangkap kerana dadah kini ditahan di lokap IPD Kinabatangan dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement