Anda di sini

Penunggang motosikal maut bertembung dengan kereta

Advertisement
LOKASI kemalangan berlaku.
LOKASI kemalangan berlaku.

BEAUFORT : Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah  kereta di Kampung Kerukan, Kilometer 34 Jalan Beaufort-Menumbok di sini pada Rabu.

Dalam kejadian itu, mangsa Junaidi  Sadilah, 34, berasal dari Kuala Penyu maut di tempat kejadian pada jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd. Razak berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dan pemandu kereta berumur 41 tahun dalam perjalanan menuju ke Menumbok dari arah Kuala Penyu.

Katanya, sebaik tiba ke satu simpang jalan, kereta terbabit dilanggar di bahagian tepi oleh mangsa yang datang dari arah belakang.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang simen di sebelah kanan jalan dan dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kereta tersebut hanya  mengalami kerosakan di bahagian tepi sebelah kanan manakala motosikal rosak di bahagian hadapan,” katanya.

Azmir berkata, pemandu dan mangsa dipercayai tidak memandu atau menunggang dengan pengaruh alkohol dan dadah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca oleh kecuaian mangsa yang memotong secara berbahaya di garisan berkembar tanpa memberi perhatian yang sepatutnnya terhadap kenderaan di hadapan yang ingin membelok masuk ke simpang.

  • oleh
  • Advertisement