Anda di sini

Peka perkembangan semasa produk dijual di pasaran: CAPS

Advertisement
DATUK A.NAGARAJU
DATUK A.NAGARAJU


LAHAD DATU: Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) menasihatkan orang ramai supaya peka dan mengikuti perkembangan semasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai produk makanan yang dijual di pasaran.

Pengerusinya, Datuk A. Nagaraju berkata perkara itu bagi mengelak pengguna membeli produk yang boleh memudaratkan kesihatan.

"Kita khuatir apabila ada kenyataan daripada pihak KKM bahawa terdapat ikan dalam tin (sardin) mengandungi cacing, sebab itu kena waspada," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, KKM mengarahkan syarikat pengeluar bagi enam produk ikan sardin dalam tin jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy ditarik daripada pasaran kerana dipercayai mengandungi bendasing cacing Filum Nematoda daripada Genus Anisakis.

Sementara itu, Nagaraju berkata dalam tempoh terdekat pihaknya akan mengadakan pemeriksaan bersama pihak berkuasa untuk melihat sama ada produk ikan sardin itu masih dijual di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna supaya berhati-hati ketika membeli produk makanan.

"Periksa kandungan dan tarikh luput suatu barangan sebelum membeli," katanya.-Bernama.

Advertisement