
TAWAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dibawa arus deras ‘kepala air’ ditemukan meninggal dunia selepas hampir 24 jam di sekitar Sungai Tawau, kira-kira 5KM dari lokasi kejadian.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, mangsa dikenali sebagai Rahman Basri, lelaki warga Indonesia berumur 27 tahun.
Mangsa dilaporkan hilang pada Rabu jam 4.47 petang dan dikatakan menyeberangi sungai di Gudang Empat, di sini, sebelum dipercayai hilang dibawa arus deras.
Bertindak atas makluman dan laporan itu, JBPM Daerah Tawau menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar tebing sungai namun kelibat mangsa tidak ditemui.
Operasi itu disambung semula pada jam 8 pagi, Khamis, diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Sharudi Delamin dengan enam anggota serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Mangsa kemudianya berjaya ditemukan oleh PPDA pada jam 6.11 petang namun disahkan sudah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.