Anda di sini

34 pelajar terima tajaan PESP

Advertisement

KOTA KINABALU: Petroleum Nasional Berhad (Petronas) menganugerahkan penajaan pendidikan kepada 34 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Menengah (SPM) cemerlang dari Sabah di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) bagi tahun ini.

Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan berkata, jumlah pelajar yang terpilih adalah 11 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 300 penajaan dengan peruntukan RM113.4 juta bersamaan purata RM378 ribu untuk setiap pelajar.

YUSOF (dua, kiri) menyampaikan sijil penganugerahan kepada salah seorang pelajar yamg menerima tajaan PESP pada majlis berkenaan. Penyerahan turut disaksikan oleh Raiha (kiri) dan Sidek (kanan).
YUSOF (dua, kiri) menyampaikan sijil penganugerahan kepada salah seorang pelajar yang menerima tajaan PESP pada majlis berkenaan. Penyerahan turut disaksikan oleh Raiha (kiri) dan Sidek (kanan).

"Seramai 34 pelajar atau kira-kira 11 peratus dari mereka adalah anak-anak Sabah dari serata negeri iaitu Lahad Datu, Kota Belud, Keningau, Tawau, Sandakan dan juga Kota Kinabalu.

"Kami percaya bahawa dengan memperkasakan individu melalui pendidikan dan kemahiran adalah kunci untuk membangunkan modal insan yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) peringkat negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sidek berkata, sejak tertubuhnya PESP di negeri ini, Petronas sudah menaja seramai 418 pelajar Sabah untuk meneruskan pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geofizik, kewangan, undang-undang, dan kursus berkaitan di beberapa universiti luar negara dan Universiti Teknologi Petronas.

Katanya, program pendidikan itu juga sudah memberikan manfaat kepada kira-kira 36,000 pelajar di seluruh negara dengan anggaran pelaburan mencecah RM3 bilion sejak ia diperkenalkan pada tahun 1975.

Sementara itu, Shafie dalam teks ucapannya berkata, beliau menyokong penuh usaha Petronas menyemarakkan bidang pendidikan melalui inisiatif pendidikan seperti PESP.

Katanya, PESP adalah program yang membolehkan pelajar cemerlang melanjutkan pengajian tinggi di universiti tempatan dan antarabangsa.

"Meskipun Ia membabitkan kos pengajian dan sara hidup yang tinggi, PESP disifatkan sebagai platform yang menyediakan dan membolehkan pelajar memperoleh pendidikan terbaik.

"Akhirnya nanti membawa pulang segala ilmu itu, diterapkan dalam bidang profesional lalu membawa manfaat kepada kita semua di Malaysia secara amnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan kepada anak-anak jati Sabah supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dalam menghadapi cabaran dunia digital, penjajahan budaya, kebejatan nilai moral dan sebagainya.

Pada masa sama, Petronas turut menyampaikan tajaan kepada 42 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sabah di bawah Program Budi Petronas pada majlis berkenaan.

Sehingga tahun ini, seramai 237 pelajar MRSM di negeri ini mendapat manfaat daripada program berkenaan.

PELAJAR yang menerima tajaan program PESP merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis berkenaan.
PELAJAR yang menerima tajaan program PESP merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Turut diadakan adalah majlis penyerahan tajaan kepada 63 pelatih yang menjalani latihan teknikal di bawah Program Vokasional dan Bantuan Teknikal (VISTA).

Menerusi Program Vista pula, seramai 2,683 pelatih Vista di Sabah menerima manfaat daripada program itu sejak 2007 lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Petronas Datuk Raiha Azni Abdul Rahman dan Pengerusi Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Mohd Zaini Mohd Yunus.

  • oleh
  • Advertisement