Anda di sini

Sistem e-bidding nombor plat tangguh 1 Ogos depan

Advertisement
 Anthony Loke (tengah) pada sidang media. Turut hadir Shaharuddin (kanan) dan Saripuddin (kiri). — Gambar Bernama
BENTANG: Anthony Loke (tengah) pada sidang media. Turut hadir Shaharuddin (kanan) dan Saripuddin (kiri). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sistem e-bidding siri nombor pendaftaran khas MALAYSIA sempena sambutan Hari Kemerdekaan ditangguhkan ke 1 Ogos hingga 16 Ogos daripada perancangan asal 2 Julai hingga 16 Julai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penangguhan itu dibuat untuk membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguji sistem tersebut selain memastikan tiada isu teknikal berlaku apabila ia dilaksanakan.

“Ini adalah projek perintis yang diharap dapat dijalankan secara efektif selain menambah pendapatan negara,” katanya, sambil menambah sistem e-bidding itu dijangka menarik lebih ramai pembida memandangkan proses itu lebih telus dan mudah.

Sebelum ini, Loke mengumumkan sistem bidaan nombor pendaftaran melibatkan 10,000 siri tawaran bermula ‘Malaysia 1’ sehingga ‘Malaysia 9999’ akan dibuka kepada awam mulai 2 hingga 16 Julai.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya di sini semalam, Loke berkata sebuah syarikat teknologi maklumat tempatan telah menawarkan perkhidmatan e-bidding pendaftaran khas itu secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Menurutnya, syarikat berkenaan telah mengemukakan cadangan namun secara prinsip, persetujuan tertakluk kepada Kementerian Kewangan sebelum mengumumkan nama syarikat itu.

Dalam perkembangan lain, Loke menegaskan bahawa pendirian kerajaan adalah tidak menghapuskan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

“Sebaliknya, kita mahu kawal selia dan memastikan khidmat e-hailing mematuhi peraturan dan undang-undang yang dipinda sebelum ini,” katanya.

Loke berkata undang-undang itu adalah untuk memastikan hala tuju perkhidmatan e-hailing dan perkhidmatan teksi dapat memuaskan hati semua pihak dan lebih adil.

Beliau turut menasihatkan pemandu teksi supaya bersabar dan tidak mengadakan demonstrasi kerana pihaknya akan melaksanakan peraturan terbaik demi kepentingan semua pihak.

Sementara itu, Loke mengarahkan JPJ supaya mengkaji mekanisme untuk mengeluarkan sijil nyah pendaftaran untuk kenderaan terbiar dan tidak dipakai di kawasan perumahan.

Ini kerana terdapat banyak aduan mengenai kereta terbengkalai di kawasan perumahan di Selangor dan Kuala Lumpur yang mengundang masalah kesihatan, katanya.

Menurutnya, memandangkan isu memusnahkan kenderaan melebihi 10 tahun tidak diterima baik oleh rakyat, maka perkara itu ditangguhkan.

Loke turut menyelar laporan sebelum ini yang mengatakan kementerian akan melaksanakan tindakan memusnahkan kenderaan melebihi 10 tahun sebaliknya menegaskan perkara itu baharu di peringkat kajian. — Bernama

Advertisement