Anda di sini

Pemilihan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan akan diadakan

Advertisement
 Persatuan Setiausaha PDM P.189 Semporna diketuai Bani Millong mengadakan kunjungan kormat kepada Jaujan (tengah) untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan berharap beliau menerajui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dengan penuh komitmen bagi membela nasib rakyat.
TAHNIAH: Persatuan Setiausaha PDM P.189 Semporna diketuai Bani Millong mengadakan kunjungan kormat kepada Jaujan (tengah) untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan berharap beliau menerajui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dengan penuh komitmen bagi membela nasib rakyat.

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengadakan proses pemilihan ahli Majlis Kerajaan Tempatan dalam tempoh pemerintahan kerajaan sekarang.

Timbalan Ketua Menteri Dato Dr Jaujan Sambakong berkata, proses pemilihan itu akan diselaraskan dengan rancangan kerajaan persekutuan bagi mengadakan pemilihan ahli Majlis Kerajaan Tempatan secara serentak di seluruh negara pada masa depan.

“Kajian terperinci mengenai pemilihan itu akan dilakukan kerana ia terletak di bawah kementerian saya iaitu Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Masanya akan tiba nanti untuk rakyat memilih siapa ahli majlis yang dikehendaki mereka bagi mentadbir daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata di peringkat persekutuan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menjelaskan pemilihan itu akan diadakan dalam tempoh tiga tahun sementara kajian akan dilakukan dalam tempoh enam bulan kemudian.

Jaujan berkata, kementeriannya juga mengalu-alukan pendekatan penyeragaman yang akan memberikan kuasa kepada kerajaan tempatan untuk menaik taraf majlis daerah.

“Rancangan utama kita adalah menaik taraf majlis daerah dengan memberikan kuasa dan peranan daripada pihak berkuasa pusat.

“Ketika ini, semua perancangan dan keputusan dilakukan di peringkat pusat tetapi kini kita mahu memberikan lebih kuasa kepada majlis daerah untuk merancang dan memutuskan apa keperluan di kawasan masing-masing berdasarkan bentuk muka bumi khususnya bekalan elektrik dan air,” katanya.

Beliau berkata kini jawatan tertinggi peringkat daerah diberi gelaran pengerusi, tetapi adalah baik ia ditukar kepada Yang Dipertua Majlis Daerah.

Selain itu, beliau akan memberi tumpuan yang lebih kepada pembangunan luar bandar khususnya pembinaan rumah mampu milik.

Katanya, projek sedemikian akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang diperlukan oleh masyarakat luar bandar seterusnya membolehkan mereka tidak memilih untuk berhijrah ke kawasan bandar mencari pekerjaan.

“Kerajaan juga akan berusaha mengurangkan kawasan setinggan di seluruh Sabah.

“Bagaimanapun, adalah tidak wajar sekiranya hanya membina rumah, kita juga perlu membangunkan industri di luar bandar,” katanya.

Advertisement