Anda di sini

Larangan jadi pengajaran kepada pelancong lain

Advertisement
CHRISTINA (empat kanan) membunyikan hon bagi acara pelepasan peserta berbasikal.
CHRISTINA (empat kanan) membunyikan hon bagi acara pelepasan peserta berbasikal.

KOTA KINABALU: Keputusan tidak membenarkan pelancong asing melawat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) akan menjadi pengajaran sekaligus membuka mata pelancong yang lain, betapa pentingnya menjaga tingkah laku yang sopan dan beradab.

Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, kerajaan negeri juga menerima segala keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MBR, selain mempertimbangkan sama ada pelancong luar dibenarkan lagi untuk melawat masjid itu atau tidak.

"Saya percaya bahawa penutupan masjid ini hanya sementara sahaja mengikut apa yang sudah diperkatakan oleh pengerusinya sendiri.

"Bagaimanapun, saya akan bercakap dengan setiausaha tetap dan kakitangan kementerian untuk mengikuti tindakan seterusnya, selain berbicang dengan pihak berkuasa berkaitan serta pihak pengurusan masjid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan peserta Program Berbasikal sempena sambutan Hari Amerika-Sabah di perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.

Dalam pada itu, kedua-dua pelancong wanita dari China iaitu Wang Han, 37, dan Zhang Na, 25, yang berkelakuan tidak sopan dengan menari di atas pagar masjid, masing-masing dikenakan denda RM25 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengingatkan pemandu serta pengusaha pelancong di negeri ini supaya tidak leka dan sentiasa menjaga gerak geri pelanggan masing-masing.

Katanya, pihak yang berkenaan seharusnya sentiasa memaklumkan kepada pelanggan (pelancong) mereka tentang kelakuan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan ketika melawat tempat beribadat atau mana-mana tempat pelancongan di negeri ini.

Sementara itu, dianggarkan seramai 150 orang menyertai aktiviti sempena sambutan Hari Amerika-Sabah seperti acara berbasikal, gotong royong dan aktiviti menanam pokok hiasan di laluan sepanjang jalan.

Turut hadir pada program itu ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

  • oleh
  • Advertisement