Anda di sini

Cubaan pesakit bunuh diri gagal

Advertisement
ABDUL FUAD
ABDUL FUAD

SANDAKAN: Tindakan seorang pesakit cuba membunuh diri gagal apabila perbuatannya itu disedari bapanya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pengiran Galpam, Batu 7 pada 4 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek lelaki tempatan berumur 32 tahun telah ditahan pada Rabu (27 Jun) berikutan laporan polis yang diterima daripada seorang doktor bertugas pada 26 Jun.

Bagaimanapun, beliau berkata suspek kini diberikan jaminan polis dengan seorang penjamin tempatan.

Fuad berkata pada 26 Jun jam 1.50 petang, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang doktor yang bertugas di Wad Psikiatri, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan berkaitan satu kejadian cubaan bunuh diri oleh seorang lelaki tempatan di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati pada 4 Jun 2018 jam 10.40 malam, semasa bertugas di Wad Psikiatri, HDOK, doktor berkenaan dimaklumkan oleh petugas di Wad Kecemasan terdapat seorang pesakit yang cuba membunuh diri.

"Siasatan lanjut mendapati, suspek berkenaan cuba membunuh dirinya dengan cara menggantung diri menggunakan kain di dalam bilik tidurnya dan perbuatan itu disedari oleh bapanya yang terus bertindak masuk ke bilik yang tidak berkunci serta memotong kain berkenaan," katanya.

Katanya rawatan awal telah diberikan kepada suspek oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi dan suspek berjaya diselamatkan dan dibawa ke HDOK dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Jelasnya suspek mendapat rawatan di Wad Psikiatri HDOK sejak 2017 dan akan membuat pemeriksaan setiap sebulan sekali. Suspek turut memberitahu doktor yang merawatnya bahawa dia mahu membunuh diri kerana mengalami sakit kepala yang melampau dan juga ada mendengar suara serta nampak bayang-bayang.

"Suspek berada dalam keadaan stabil dan hasil ujian air kencing yang dibuat oleh pihak hospital didapati negatif daripada pengambilan dadah," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.

  • oleh
  • Advertisement