Bangkitkan sikap prihatin ahli PRS terhadap golongan kurang bernasib baik
SANDAKAN: Politeknik Sandakan Sabah (PSS) melalui Unit Pengurusan Psikologi (UPP) dengan kerjasama YES Politeknik dan ahli Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pusat Jagaan Anak-anak Yatim, di sini.
Penyelaras program Farah Najwa Ahmad berkata program itu bertemakan ‘Spreading Joy’ dan disasarkan khusus untuk anak-anak yang kurang bernasib baik di sini.

Program di bawah seliaan beliau itu melibatkan seramai lima staf dan 30 ahli kelab PRS Politeknik Sandakan.
Menurut Farah, tujuan utama program adalah untuk membangkitkan sikap prihatin para ahli PRS terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Aktiviti yang dijalankan diharap dapat menjalin hubungan silaturahim dengan anak-anak yatim di Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Yakin.
Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sandakan Rusli Abd Rahman menyempurnakan perasmian program itu yang turut dihadiri Setiausaha Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Yakin, Haji Rukmana Haji Ansar.
Rukmana berkata, program seumpamanya amat dialu-alukan oleh pihak mereka bagi memberi pengisian aktiviti kepada penghuni pusat jagaan itu pada hujung minggu.
Seramai 16 penghuni di pusat jagaan itu terlibat dengan aktiviti yang dirancang termasuklah gotong-royong dan latihan dalam kumpulan (LDK) yang memerlukan interaksi sesama ahli kelab PRS dan penghuni pusat jagaan berkenaan.

Aktiviti latihan dalam kumpulan juga memerlukan peserta untuk mencipta idea-idea kreatif yang membantu merangsang keupayaan mereka berfikir.
Penganjuran program amat penting untuk memastikan masyarakat khasnya golongan muda (pelajar) agar tidak lupa untuk memberi khidmat kepada mereka yang kurang bernasib baik.