Anda di sini

Menari di atas pagar masjid, dua wanita warga asing didenda RM25

Advertisement
WANG (kanan) dan Zhang (kiri).
WANG (kanan) dan Zhang (kiri).

KOTA KINABALU: Dua wanita warga asing yang tular di media sosial, kerana aksi menari di atas pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini, dikenakan denda RM25 atau penjara seminggu.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap dua pelancong warga China Wang Han, 37, dan Zhang Na, 25, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku salah.

Mereka bersama melakukan perbuatan tidak sopan berkenaan di tempat awam, pada 23 Jun jam 4.30 petang, di kawasan masjid berkenaan.

Atas kesalahan itu, Wang dan Zhang disabitkan mengikut Seksyen 15 Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah, yang memperuntukkan denda RM25 atau penjara selama 14 hari.

Jika sebutan berikutnya boleh dikenakan denda RM50 atau penjara maksimum tiga bulan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis berhubung rakaman video berdurasi 10 saat, ditular di media sosial bertempat di masjid berkenaan.

Beliau menerima rakaman terbabit melalui aplikasi WhatsApp daripada rakannya, menunjukkan dua wanita warga asing berpakaian tidak senonoh naik di atas pagar masjid.

Siasatan lanjut mendapati, pengadu selaku Yang Dipertua Pertubuhan Penyatuan Islam Sabah, berpendapat perbuatan terbabit menyentuh sensitiviti penganut Islam, terutama penduduk Sabah.

Semasa rayuan, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penari, memohon diberikan denda yang minimum, kerana penerbangan mereka pada malam Rabu (hari ini).

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin menyatakan, hukuman yang setimpal harus dikenakan terhadap mereka.

Wang dan Zhang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 4.30 petang untuk didakwa atas pertuduhan terbabit.

Mereka seterusnya diiringi pegawai penyiasat bersama anggota polis ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) selepas membayar denda.

  • oleh
  • Advertisement