Anda di sini

Mangsa kebakaran diminta daftar dengan JKM

Advertisement
MOHAMAD melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan SK Tg Batu Keramat Tawau.
MOHAMAD melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan SK Tg Batu Keramat Tawau.

TAWAU: Kesemua mangsa kebakaran dinasihatkan supaya tidak mengambil ringan keperluan untuk mendaftar rekod mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Mohamad Noor Wahab berkata senarai rekod pendaftaran itu penting untuk memastikan mereka menerima bantuan.

“Jika tidak tinggal di pusat pemindahan, tetapi tinggal bersama keluarga atau jiran juga, mereka perlu mendaftar kerana kita mahu mengenalpasti jumlah penerima sebenar.

“Bantuan disalur mengikut senarai mangsa yang ada dalam rekod sahaja,” katanya ketika mengadakan lawatan mangsa kebakaran di Dewan SK Tg Batu Keramat pada Selasa.

Mohamad berkata demikian berhubung nasib 154 mangsa kebakaran di Kg Kukusan Tanah Merah Tg Batu meliputi 85 lelaki, 69 perempuan termasuk 10 kanak-kanak dan satu orang kurang upaya.

Antara bantuan yang disalurkan menerusi JKM seperti makan minum, lampin, susu dan pakaian murid atau pelajar sekolah, selain kaunselor JKM, jika keadaan memerlukan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau Hussain Mohd Noor merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Tawau pula berkata APM juga bergantung kepada senarai JKM.

“Berdasarkan rekod laporan polis yang diterima, sebanyak 12 rumah hangus dan dua rumah terjejas sebahagian,” katanya ketika ditemui di Dewan SK Tg Batu Keramat.

Dalam taklimatnya kepada mangsa kebakaran, Hussain berkata kesemua mangsa yang berada di tempat terbabit dibenarkan untuk tinggal di situ sehingga 2 Julai (jam 8 pagi).

Menurutnya, Dewan SK Tg Batu Keramat yang digunakan setakat ini tidak ditakrifkan sebagai pusat penempatan mangsa kebakaran, melainkan bantuan ihsan (kemanusiaan).

“Kebenaran untuk menggunakan dewan ini atas ihsan keputusan mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan kebenaran Guru Besar SK Tg Batu Keramat," katanya.

Beliau berkata semua sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat, syarikat atau orang perseorangan untuk mangsa, diselaraskan oleh APM Tawau.

  • oleh
  • Advertisement