
SANDAKAN: Pejabat Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sandakan telah merampas sebanyak 4,500 kotak minyak masak yang dipercayai cuba diekspot ke negara jiran.
Ketua Cawangan KPDNKK Sandakan Abdul Muis Samsudin berkata, dalam rampasan kira-kira jam 9 pagi tadi di sebuah jeti persendirian di Karamunting itu telah membawa kepada penemuan kotak minyak masak seberat 76.50 metrik tan dengan nilai rampasan sebanyak RM195,555.55.
Katanya, rampasan itu dibuat selepas pihaknya mendapati barang kawalan berkenaan disyaki tiada kebenaran atau kelulusan untuk diekspot ke negara jiran.

Selain itu, jeti yang digunakan untuk memuat naik minyak masak berkenaan juga dipercayai tidak mempunyai lesen.
Berikutan itu, pihaknya telah menyita kesemua kotak minyak masak serta kapal dan beberapa dokumen lain bagi tujuan siasatan.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.