Anda di sini

Cari penyelesaian tanpa jejaskan banyak pihak

Advertisement
THAM (kanan) bercakap kepada media berhubung isu tindakan SESB terhadap 1Borneo.
THAM (kanan) bercakap kepada media berhubung isu tindakan SESB terhadap 1Borneo.

KOTA KINABALU: Pihak pengurusan pusat beli-belah 1Borneo dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) digesa cari penyelesaian segera isu tunggakan bil elektrik tanpa menimbulkan kerisauan banyak pihak.

Pengarah Operasi Syarikat Kumpulan Global KK Tham berkata, tindakan SESB mengeluarkan kenyataan berhubung tunggakan hutang bil elektrik 1Borneo mencecah RM9.3 juta tidak mendatangkan manfaat kepada pihak yang terlibat.

Malah katanya, perkara itu mengakibatkan kerisauan banyak pihak terutamanya para pelabur, peniaga serta orang awam yang sering berkunjung ke 1Borneo.

"Ia bukan sahaja menjejaskan operasi di pusat beli-belah ini, tetapi turut memberikan kesan kepada nama baik Sabah memandangkan banyak pelabur luar terlibat dengan perniagaan di sini.

"Sebagai wakil pelabur yang juga banyak membawa rakan pelabur dari luar negara, saya amat berharap kedua-dua pihak dapat mencari penyelesaian segera dengan cara yang lebih baik," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata, pemotongan bekalan elektrik tentunya membawa kesan buruk kepada perniagaan para pengusaha begitu juga pengurusan 1Borneo.

Tham berkata, beliau turut menerima banyak panggilan telefon dan mesej daripada banyak pihak terutama pelabur yang kurang berpuas hati dengan kenyataan SESB itu.

Pihaknya yakin pengurusan 1Borneo mampu mencari penyelesaian dan SESB sewajarnya memberi ruang agar perbincangan dapat dibuat bagi kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, beliau berharap tindakan wajar dapat diambil dalam menyelesaikan isu berkenaan tanpa menjejaskan operasi perniagaan di pusat beli-belah itu.

Pada Isnin, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Mohd Yaakob Jaafar menegaskan SESB akan memotong bekalan elektrik di 1Borneo sekiranya tunggakan hutang sebanyak RM9.3 juta tidak dilangsaikan segera.

  • oleh
  • Advertisement