
KUDAT: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan bangunan asrama daripada musnah terbakar di Sekolah Menengah (SM) Pei Tsin di sini, awal pagi tadi.
Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 8.20 pagi sebelum menggerakkan 24 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat ke lokasi kejadian.
"Kebakaran menjejaskan hampir keseluruhan blok asrama sekolah seluas 120x40 kaki persegi di tingkat dua bangunan berkenaan.
"Tindakan pantas anggota bomba melaksanakan operasi pemadaman menggunakan sumber air dari dua jentera bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.48 pagi kemudian," katanya.
Tambahnya operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dari Kampung Air.
"Pihak bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian terutama kawasan terbakar bagi memastikan tiada kemungkinan yang boleh membawa bahaya lain.
"Tiada kecederaan serta kemalangan jiwa terlibat dalam kejadian ini dan operasi keseluruhan tamat jam 10.53 pagi," katanya.