Anda di sini

Shafie mahu media berperanan lebih bebas

Advertisement
SHAFIE (lima kiri) dan Muguntan (empat kiri) bergambar bersama barisan Jawatankuasa SJA selepas kunjungan hormat itu.
SHAFIE (lima kiri) dan Muguntan (empat kiri) bergambar bersama barisan Jawatankuasa SJA selepas kunjungan hormat itu.

KOTA KINABALU: Media perlu berperanan lebih bebas dan berobjektif dalam menyampaikan laporan berita.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, penting bagi media memberi fokus secara objektif terhadap sesuatu isu kerana media mampu berhubung dengan rakyat dan keperluan mereka.

"Saya bersedia untuk menerima kritikan asalkan ia merujuk kepada sesuatu isu yang berasas," katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di pejabatnya di sini pada Isnin.

Selain itu jelasnya, kemunculan media sosial hari ini perlu membentuk kepercayaan rakyat yang semakin tiada keyakinan dan kritis terhadap maklumat yang disebarkan.

Ia kerana katanya, rakyat juga mempunyai pangkalan maklumat yang besar dalam media sosial.

"Berbanding sistem dahulu, sekarang ini lebih banyak persaingan dan corak pemikiran rakyat juga sangat berbeza.

"Justeru, saya lebih suka kepada media yang mempunyai objektif dalam menyampaikan tugasan mereka," katanya.

Berhubung isu peranan majlis media, Shafie berkata tiada keperluan untuk majlis media bertindak sebagai pemantau kerana penting bagi media menjadi bebas.

Beliau berkata, biarlah media berperanan lebih bebas kerana majlis itu sendiri akan cenderung untuk disalahgunakan.

Sebelum ini, cadangan pembentukan majlis media dibuat untuk bertindak sebagai aduan terhadap pengamal media yang melibatkan wartawan, editor, pemilik organisasi media serta kerajaan.

Dalam pada itu, Presiden SJA Muguntan Vanar turut membincangkan beberapa perkara dan perkembangan terkini berhubung aktiviti SJA kepada Shafie.

Ia termasuklah majlis tahunan Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu (KSPA) serta rancangan untuk membina bangunan di tanah milik SJA di sini.

Shafie berkata, pihaknya menghargai peranan media di negeri ini dan akan memberikan kerjasama sebaiknya dalam membantu SJA menerusi pelbagai bentuk usaha.

  • oleh
  • Advertisement