Anda di sini

SESB diminta pertimbang keputusan potong bekalan

Advertisement
AZIS Jamman
AZIS Jamman

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman menggesa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk memotong bekalan elektrik di 1Borneo Hypermall.

Ia adalah demi kepentingan pekerja di 1Borneo Hypermall yang mungkin akan kehilangan pekerjaan, sekiranya bekalan elektrik di pusat beli-belah itu dipotong.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyatakan kesediaan menjadi perantara dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan itu bagi memastikan pekerja di pusat beli-belah itu tidak kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan.

"Kita mesti meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu dan dalam kes ini, pekerja yang diupah di pelbagai premis kedai dalam pusat beli-belah itu yang akan mengalami kerugian besar.

"Jika bekalan elektrik dipotong, ia akan menyebabkan premis-premis kedai terpaksa ditutup dan pekerja akan kehilangan kerja.

"Saya mahu membantu dan saya bersedia menjadi perantara agar kita boleh duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian," kata ketua wira Parti Warisan Sabah itu.

Baru-baru ini, SESB mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu akan memotong bekalan elektrik di 1Borneo Hypermall pada 27 Jun, sekiranya gagal menjelaskan tunggakan hutang bil elektrik yang kini mencecah RM9.3 juta.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, SESB sudah memberi masa yang mencukupi kepada pihak pengurusan 1Borneo untuk menjelaskan tunggakan hutang itu.

  • oleh
  • Advertisement