Anda di sini

Rakyat adalah keutamaan, ketepikan soal politik: Daud

Advertisement
 Daud memalu gong sebagai gimik perasmian sambil diperhatikan oleh tetamu kehormat yang lain.
DIRASMI: Daud memalu gong sebagai gimik perasmian sambil diperhatikan oleh tetamu kehormat yang lain.

BONGAWAN: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof mengajak rakyat untuk mengetepikan soal politik ketika ini dengan memberikan sokongan kepada kerajaan yang memerintah demi menjamin pembangunan negeri.

Beliau berkata, soal rakyat dan keharmonian serta keselesaan rakyat adalah menjadi keutamaan kerajaan sekarang.

Jelas beliau, waktu ini bukan lagi masa untuk berpolitik sebaliknya masa untuk menstruktur dan menyusun semula pentadbiran serta pengurusan negeri ini untuk memastikan Sabah terus membangun.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Parlimen Kimanis 2018 di Dewan Masyarakat Bongawan.

Hadir sama, Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah Kimanis Yusuf Mohd Said dan Naib Ketua Bahagian Parti Warisan Kimanis Lazarus @Remy Anthony.

Dalam pada itu, Daud yang juga ADUN Bongawan berkata, rakyat dan pemimpin perlu bersatu bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri Sabah.

Sempena sambutan perayaan yang diraikan rakyat di negara ini, beliau mengajak setiap lapisan masyarakat untuk menggunakan landasan itu bagi mengukuhkan perpaduan.

Katanya, keharmonian yang dikecapi hari ini telah membolehkan rakyat menyambut perayaan masing-masing dalam suasana yang ceria.

“Ambil kesempatan ini untuk bersatu bagi mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim kerana ini secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Daud turut mengumumkan pembukaan Pusat Pembayaran Sehenti di Bongawan bagi memudahkan urusan perkadaran dan bayaran cukai pintu di bawah Majlis Daerah Papar.

Advertisement