Anda di sini

Polis Marin tahan 18 lelaki Filipina

Advertisement
PTI yang ditahan oleh Pasukan Polis Marin Sandakan.
PTI yang ditahan oleh Pasukan Polis Marin Sandakan.

SANDAKAN: Cubaan memasuki Sabah secara haram untuk mencari peluang pekerjaan, 18 lelaki warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin Sandakan  dalam Op Pensura Khas di dua lokasi di sini, pagi Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner (ACP) Mohd Yazib Abdul Aziz berkata mereka yang ditahan berumur 6 hingga 56 tahun itu berasal dari Basilan dan Zamboanga, Filipina.

“Dalam tangkapan pertama kira-kira jam 3 pagi di kawasan kebun sawit tepi Sungai Daling Batu 10, kita telah menahan 15 lelaki pendatang tanpa izin (PTI) setelah Pasukan Polis Marin membuat intipan dan pemantauan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata seorang pegawai bersama tujuh anggota Pasukan Polis Marin yang sedang membuat intipan telah melihat beberapa bot laju yang mencurigakan menurunkan penumpang di kawasan itu.

“Ketika pasukan itu memperkenalkan diri sebagai anggota polis, kesemua bot laju memecut ke arah laut dan tidak dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata semasa serbuan itu, beberapa individu berjaya melarikan diri dan tidak dapat dikesan tetapi pihaknya berjaya menahan 15 lelaki.

“Manakala tangkapan kedua kira-kira jam 6.20 pagi di kawasan Kuari Gum-Gum Kecil Batu 16 telah menahan tiga lelaki berumur 22, 23 dan 35 tahun,” katanya.

Yazib berkata pihaknya dengan kekuatan seorang pegawai dan empat anggota yang membuat intipan di kawasan itu telah melihat beberapa individu keluar dari sebuah pondok yang dipercayai tempat transit migran.

Apabila pihaknya memperkenalkan diri sebagai polis, beberapa individu melarikan diri dan hanya tiga yang berjaya ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, kesemua yang ditahan gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka mengakui baru sampai dari Basilan. Mereka mendedahkan menaiki kapal kumpit dari Basilan menuju ke Pulau Bakungan Besar, Filipina.

“Tambang yang dikenakan kepada setiap individu adalah sebanyak 2,000 hingga 10 ribu peso. Tambang setiap perjalanan dibayar kepada seorang ejen yang mengatur dan mengurus hingga sampai ke destinasi yang dituju,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan ingin mencari peluang pekerjaan di Sabah kerana di negara mereka susah mencari pekerjaan.

Yazib berkata mereka akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

  • oleh
  • Advertisement