Anda di sini

Musa sahkan berada di United Kingdom

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman (foto) hari ini memecahkan kebuntuan mengenai keberadaannya dengan mengesahkan bahawa beliau kini berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi.

Beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini juga menjelaskan bahawa  telah meninggalkan Malaysia secara wajar mengikut undang-undang pada 16 Mei lalu.

Musa berkata beliau telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terhadap apa yang beliau sifatkan  sebagai "tindakan tidak berperlembagaan" berikutan angkat sumpahnya  sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Saya telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan arahan terhadap kedua-dua Yang Dipertua Negeri Sabah dan Datuk Seri Shafie Apdal akibat daripada tindakan ultra vires dan  perbuatan yang tidak berperlembagaan oleh Yang Dipertua Negeri berikutan angkat sumpah  saya sebagai Ketua Menteri.

"Beliau (Yang Dipertua Negeri) secara tidak wajar meminta saya meletak jawatan dalam masa 48 jam, enggan menandatangani Instrumen pelantikan, kononnya Datuk Seri Shafie Apdal akan angkat sumpah sebagai Ketua Menteri sedangkan saya masih berkhidmat.

"Perkara itu kini subjudis di hadapan Mahkamah Tinggi ekoran saman asal saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Musa berkata beliau bersedia  membantu pihak  polis dan siasatan lain mengenai perkara  ini dan beliau telah menjelaskannya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah.

Menurut Musa, beliau telah memberi arahan peguamnya, baik di Malaysia dan London, dan sebarang pertanyaan atau permintaan untuk maklumat lanjut perlu disampaikan kepada mereka.

Mengenai pelbagai kenyataan dan laporan sejak  kebelakangan ini yang mendakwa beliau  telah meninggalkan Malaysia secara haram dan telah secara haram memasuki United Kingdom, Musa berkata: "Kesimpulannya adalah bahawa saya telah menjadi orang buruan dan sengaja  menjadikan diri saya tidak dapat dihubungi pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan kejadian di Istana Negeri pada 10 Mei malam  serta  perkara lain berkaitan.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pada 10 Mei selepas BN Sabah memperoleh 31 kerusi, majoriti mudah untuk membolehkannya membentuk kerajaan.

Namun, beliau kehilangan majoriti mudah ketika UPKO, parti komponen BN, dan beberapa anggota dewan undangan negeri dari  UMNO melompat kapal dan menyokong pembangkang . Ini membuka laluan  kepada  Mohd Shafie, yang mengetuai Parti Warisan Sabah, mengangkat  sumpah sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei. - BERNAMA   
 

Advertisement