Anda di sini

Mantapkan kerangka tadbir urus

Advertisement

Bagi mencapai pembangunan perniagaan lestari

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Mohd Shafie Haji Apdal berkata, pembangunan perniagaan yang lestari tidak akan dapat dicapai tanpa adanya tadbir urus yang baik.

Oleh demikian katanya, pihak pengurusan koperasi perlu memantapkan kerangka tadbir urus sedia ada bagi memastikan perjalanan pengurusan dapat berjalan dengan lancar.

"Ini juga dapat mengukuhkan keyakinan orang awam khususnya pelanggan terhadap koperasi," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (Kosan) Ke-5 di Dewan Sa'adah, Wisma Muis, Sembulan hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Frankie Poon Ming Fung.

Shafie berkata, barisan Anggota Lembaga Koperasi, pengurusan dan ahli koperasi juga perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai bidang perniagaan, industri dan lain-lain hal berkaitan yang boleh membantu memajukan koperasi.

"Saya juga dimaklumkan bahawa dalam mesyuarat agung kali ini, ada pemilihan empat orang Anggota Lembaga Pengarah baharu yang akan memikul tanggungjawab serta mengharungi cabaran-cabaran yang akan dihadapi bersama-sama Anggota Lembaga Koperasi yang sedia ada," katanya.

Beliau  berharap agar semua Anggota Lembaga Koperasi dapat meneruskan langkah dengan merealisasikan visi serta misi yang jelas kepada koperasi dan kepada semua ahli koperasi.

Beliau juga menyeru agar Anggota Lembaga Koperasi menjadi peneraju dengan mengambil apa jua langkah dalam membawa keuntungan kepada koperasi.

Shafie merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Anggota Lembaga Koperasi serta pengurusan yang telah berjaya mengadakan mesyuarat agung pada kali ini yang dihadiri oleh anggota Kosan dari Ibu Pejabat, Papar dan Tuaran.

FRANKIE (tengah) bersama, Umar, Noorzain (tengah) dan Ahli Lembaga Pengarah Kosan.
FRANKIE (lima kiri) bersama, Umar, Noorzain dan Ahli Lembaga Pengarah Kosan.
  • oleh
  • Advertisement