Anda di sini

Dokumen khas akan dikeluarkan

Advertisement

Kepada pekerja asing dalam sektor perladangan


KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengeluarkan dokumen khas kepada pekerja asing sektor perladangan di negeri ini dalam usaha membantu menjadikan industri komoditi itu lebih berdaya saing.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau menerima banyak rungutan dan aduan daripada pihak pengusaha yang menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai pekerja yang mencukupi dalam ladang masing-masing.

"Keadaan itu menjadikan sektor perladangan Sabah tidak berdaya saing khususnya harga komoditi itu berbanding negara jiran.

"Oleh itu, setelah berbincang, kita akan mengeluarkan satu dokumen khas kepada pekerja asing yang sedia ada di setiap ladang.

"Sekiranya ladang berkenaan tidak mempunyai pekerja, kita akan mencari cara untuk mempelawa mereka untuk bekerja di ladang itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perjumpaan dan Talimat daripada Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, dokumen itu tidak berbentuk tetap sebaliknya hanya pas bekerja dalam sektor ladang.

Katanya, kerajaan akan memperincikan syarat-syaratnya agar keselesaan dapat diberikan kepada mereka untuk bekerja di ladang bagi satu tempoh masa yang ditetapkan.

"Kini, terdapat pekerja dari ladang yang tidak penuhi syarat sedia ada seperti tidak dibenarkan membawa keluarga dan juga sekatan lain," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan menjelaskan keadaan keselamatan negeri ini masih dalam kawalan yang baik walaupun wujudnya kejadian jenayah seperti rompakan, kecurian dan sebagainya.

Katanya, walaupun ada kejadian seumpamanya, kadarnya masih dalam kawalan yang baik.

Menurutnya, kawalan sempadan juga dalam keadaan yang baik dengan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan daripada kes penculikan.

"Kita akan sentiasa memastikan sempadan negara kita dikawal baik dengan meningkatkan sistem keselamatan di sini," katanya.

Setakat 2017, statistik pengeluaran pas lawatan kerja sementara oleh pihak berkuasa di sini adalah berjumlah 137,676 dan daripada jumlah itu sektor perladangan adalah sebanyak 76,603.

Baki jumlah itu adalah masing-masing dari sektor pembantu rumah (8,007), pertanian (31,582), pembuatan (11,394), pembinaan (6,150) dan perkhidmatan (3,940).

SHAFIE (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain.
SHAFIE (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain.
  • oleh
  • Advertisement