Anda di sini

APM buka pejabat di pulau pertama di Sabah

Advertisement
 Ma’mun menandatangani plak Pejabat Unit Pertahanan Awam Pulau Sebatik di Sungai Tongkang Sebatik.
LAKAR SEJARAH: Ma’mun menandatangani plak Pejabat Unit Pertahanan Awam Pulau Sebatik di Sungai Tongkang Sebatik.

TAWAU: Pembukaan Pejabat Unit Pertahanan Awam Pulau Sebatik disifatkan melakar sejarah baharu kerana muncul premis pertama seumpamanya dibuka di kawasan pulau negeri ini.

Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman memuji inisiatif Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau itu kerana berusaha memenuhi keperluan penduduk Sebatik.

“Kita percaya pembukaan pejabat ini yang disertai lebih 100 sukarelawan APM akan dapat membantu penduduk Sebatik sekiranya berada dalam situasi memerlukan.

“Misalnya, ketika menghadapi kes ular, sarang tebuan dan terutama sekali untuk bantuan kecemasan jika ada orang sakit yang perlu dihantar ke Hospital Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan pejabat unit kedua APM Tawau di Sg Tongkang, Sebatik, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ma’mun berkata kesulitan menghantar pesakit dari pulau ke tanah besar Tawau dapat diatasi berikutan Unit Pertahanan Awam Sebatik mempunyai bot sendiri.

“Misalnya, pesakit dari pulau boleh dihantar menaiki bot sebelum diserahkan kepada ambulans APM Tawau di tanah besar untuk dihantar ke Hospital Tawau,” katanya.

Menyentuh hal berasingan, beliau mengulangi tekadnya untuk berusaha membantu menangani isu-isu infrastruktur di Kalabakan khususnya berkaitan kemudahan jalan raya.

Menurutnya, sasaran mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan juga akan diteruskan, termasuk mendekati golongan muda dan tua untuk bersama-sama memajukan Kalabakan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya APM Roslan Wahab, Pengarah Bahagian Perancangan Dasar dan Penyelarasan APM Norhafifi Ismail dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Tawau Kapten Hussain Mohd Noor.

Advertisement