Anda di sini

Teroka lebih luas pemasaran bagi meningkatkan promosi produk dan perkhidmatan

Advertisement
 Foo (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wilfred selepas menyempurnakan upacara perasmian Siri Jelajah Anugerah Perniagaan Platinum 2018.
TERIMA KASIH: Foo (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wilfred selepas menyempurnakan upacara perasmian Siri Jelajah Anugerah Perniagaan Platinum 2018.

KOTA KINABALU: Pengusaha syarikat perniagaan tempatan disaran meneroka lebih meluas dalam bidang pemasaran dan perniagaan bagi meningkatkan promosi produk dan perkhidmatan, selain menambah peluang rangkaian domestik dan antarabangsa.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peluang menambah pasaran dalam ekonomi global dan domestik akan terlaksana, sekiranya banyak syarikat perniagaan mahir dalam kaedah pemasaran melalui jalinan hubungan baik antara mereka.

“Misalnya, mereka (ahli perniagaan) boleh mengambil peluang untuk turut serta dalam pelbagai anugerah seperti Anugerah Perniagaan Platinum yang sudah dianjurkan sejak 2002 lagi oleh ahli Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Sabag (SME) ASEAN.

“Difahamkan penganjuran majlis berprestij ini adalah langkah terbaik untuk meningkatkan peluang pemasaran dan perniagaan antara mereka selain menjana pertumbuhan dinamik bagi fasa global dan serantau,” katanya ketika merasmikan Siri Jelajah Majlis Pelancaran Anugerah Perniagaan Platinum 2018, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis anugerah itu adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada ahli-ahli yang terlibat selain daripada merancang pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Selain itu katanya, peluang untuk terlibat dalam acara sedemikian juga adalah satu bentuk penghargaan yang pastinya mampu memacu perubahan positif dan lebih mantap bagi sektor perniagaan di rantau ini.

Sementara itu, Presiden SME Sabah Foo Ngee Kee turut menzahirkan harapan untuk memperoleh keahlian yang lebih ramai bagi persatuan itu bagi tahun ini.

Beliau juga mengharapkan agar perkembangan SME akan mampu menjana sekaligus memberi impak positif dalam perkembangan di Sabah.

“Sehingga kini, kami sentiasa melihat peluang untuk menerima dan menambah keahlian dalam persatuan SME dan kami juga mengalu-alukan ahli-ahli baru yang berada di luar Kota Kinabalu.

“SME Sabah juga adalah ahli cawangan yang bekerjasama erat dengan SME Malaysia yang ditubuhkan sejak 1995 dan kami ingin menghasilkan jalinan kerjasama yang berterusan yang mampu membawa manfaat kepada semua ahli,” katanya.

Terdahulu, siri Jelajah Anugerah Perniagaan Platinum adalah julung kali diadakan di Kota Kinabalu dan sehingga kini seramai 50 ahli SME terlibat.

Tahun lalu, Anugerah berprestij yang sudah memasuki tahun ke-16 itu mendapat penyertaan seramai empat orang dari Sabah dan tiga daripadanya masing-masing berjaya memenangi anugerah.

Manakala, tahun ini sebanyak 19 kategori dipertandingkan yang dibuka untuk semua ahli SME dan tarikh tutup penerimaan penyertaan adalah pada 15 Julai depan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Nasional SME Malaysia Ong Chee Tat, Pengerusi Penganjur Anugerah Perniagaan Platinum 2018 Chey Onn Wah, Presiden Kehormat Kekal SME Malaysia Datuk Frankie Liew Chun Kim, dan Penasihat Kekal SME Sabah Datuk Henry Hing Chi Chiang.

Advertisement