Anda di sini

Kerajaan keluar surat pekeliling kepada pengusaha pelancongan

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan menghantar surat pekeliling kepada semua pengusaha pelancongan Sabah agar pelanggan mereka sentiasa bersopan ketika melawat mana-mana rumah ibadat di negeri ini.

Menterinya Christina Liew berkata, kejadian yang berlaku di atas pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini tidak seharusnya berlaku memandangkan kawasan itu adalah perkarangan rumah ibadat.

"Selain menghantar pekeliling kepada semua pengusaha pelancongan di sini, kita juga akan meletakkan papan tanda larangan di kawasan masjid ini.

"Perkara ini diharapkan tidak berulang lagi di masa hadapan, kerana kes perilaku tidak senonoh turut berlaku di Gunung Kinabalu beberapa tahun lepas," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri akan mengenalpasti pelakunya untuk memberikan peringatan bahawa perkara seumpamanya tidak boleh berulang.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa tidak akan mengenakan denda seperti mana yang dikenakan ke atas pelancong-pelancong yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu beberapa tahun lalu.

"Saya sekali lagi mengingatkan kepada semua pengusaha pelancongan agar sentiasa peka terhadap perkara-perkara sensitif sebegini.

"Saya berharap mereka akan mengumumkan peringatan kepada pelanggan mereka sebelum turun dari bas bagi melawat destinasi-destinasi pelancongan di sini khususnya melibatkan rumah ibadat," katanya.

Katanya, tindakan yang sama juga dilakukan di Thailand yang mana tokong-tokong mereka turut mengenakan larangan perilaku tidak senonoh.

Larangan itu di sini tidak hanya tertumpu kepada masjid tetapi juga rumah ibadat bukan Islam yang lain.

  • oleh
  • Advertisement