Anda di sini

Hubungan baik Sabah-Amerika beri tambah nilai sektor pelancongan

Advertisement

KOTA KINABALU: Hubungan diplomatik antara Sabah dan Amerika Syarikat mampu memberi pulangan baik khususnya dalam menambah nilai sektor pelancongan antara kedua- dua negara.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata, kerjasama yang terjalin itu mampu dikembangkan melalui penganjuran aktiviti berimpak tinggi yang melibatkan kepentingan kepada alam sekitar.
Katanya, aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar antara dua negara secara langsung menyuntik nilai tambah baharu kepada sektor pelancongan domestik.

BRADLEY (tiga kiri) dan Yeo (empat kiri) memegang baju-T Hari Amerika Sabah selepas sidang media.
BRADLEY (tiga kiri) dan Yeo (empat kiri) memegang baju-T Hari Amerika Sabah selepas sidang media.

"Duta ada menanyakan kepada saya tentang program terbaik yang boleh dilaksanakan bagi tujuan mengeratkan hubungan baik kita (Sabah) dengan mereka (Amerika Syarikat), dan saya memberitahu bahawa program bersifat memelihara alam sekitar adalah yang terbaik.

"Jadi, kita akan menanam pokok bersama-sama termasuk membina papan tanda kerjasama antara Kedutaan Amerika dan Sabah yang mana melibatkan kedua-dua pihak dalam aktiviti ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Hari Amerika Sabah yang berlangsung di sini pada Isnin.
Jelasnya, aktiviti itu akan berlangsung pada 28 Jun ini seawal jam 7 pagi di kawasan sekitar Hospital Gleneagles sehingga kawasan laluan pejalan kaki berdekatan pantai.

Sebanyak 100 pokok hiasan akan ditanam sebagai simbolik jalinan kerjasama erat antara Sabah dan Kedutaan Amerika Syarikat sempena memperingati hubungan diplomatik kedua-dua pihak yang telah terjalin lebih 150 tahun.

"Kita sudah mempelawa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew hadir pada program ini sebagai tanda sokongan kepada jalinan dua hala bersama kedutaan dan beliau sudah bersetuju.
"Justeru, kita bagi pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) amat berbesar hati mengalu-alukan semua orang ramai turut menyertai aktiviti ini bagi mempromosikan pelancongan, mengeratkan hubungan erat antara kedutaan melibatkan program pertukaran pelajar serta aktiviti lain yang berkepentingan untuk jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Kaunselor Kedutaan Amerika Syarikat Bradley Hurst pada sidang media berkata, hubungan dua hala antara Sabah dan Amerika Syarikat akan terus ditingkatkan secara harmoni dalam tempoh yang lebih lama.

"Dalam meraikan lebih 150 tahun hubungan baik bersama, kami juga berharap jalinan mesra ini mampu dikekalkan lebih lama lagi," katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan Hari Amerika Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula esok (26 Jun) sehingga Khamis ini.

PELUNCUR Jimmy Cao (kanan) dan Cheryl Jumae (kiri).
PELUNCUR Jimmy Cao (kanan) dan Cheryl Jumae (kiri).

Katanya, antara aktiviti menarik yang akan diadakan adalah konsert jazz yang menampilkan muzik dan nyanyian artis Amerika Syarikat, Gabbrile Stravelli dengan kolaborasi pemuzik tempatan.

"Selain itu, kelas 'skateboard' turut diadakan dengan menampilkan peluncur ternama Chicago, Jimmy Cao dan Cheryl Jumae.

"Pengunjung juga boleh menikmati alunan muzik jazz secara percuma di Blackbox," katanya.

  • oleh
  • Advertisement