Anda di sini

Cadangan penyelarasan aset pertahanan Esscom akan dibincang

Advertisement
SHAFIE (tengah) ketika sidang media.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bercadang melakukan pemindahan semula serta penyelarasan aset pertahanan dan keselamatan di lokasi-lokasi strategik Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, cadangan itu adalah sebagai langkah untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di negeri ini.

"Bagaimanapun, cadangan ini perlu dikemukakan kepada rakan kita di peringkat Persekutuan kerana ia bukan hanya melibatkan aspek keselamatan di Sabah malah Malaysia keseluruhannya.

"Kita perlu ikut prosedur daripada peringkat Persekutuan agar kita boleh selaraskan kemudahan aset yang terbatas dan dapat dimanfaatkan di tempat yang diperlukan.

"Kita tahu ada pasukan polis yang boleh menjaga dalam negara dan ada juga pasukan di peringkat 'border line'.

"Jadi ini yang perlu kita kaji secara mendalam untuk pastikan keterbatasan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan mengambil masa kerana ia melibatkan persetujuan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan mengalami penstrukturan semula bagi mengelakkan pertindihan yang mendorong kepada berlakunya pembaziran dan ketirisan.

Katanya, ketika ini terdapat beberapa GLC yang saling bertindih dan memerlukan rombakan semula bagi membolehkan sesebuah GLC lebih fokus kepada peranan yang dipertanggungjawabkan.

"Saya dapati banyak GLC di negeri ini yang memiliki banyak badan dan syarikat...jika perlu kita akan gabungkan menjadi satu.

"Ini bagi mengelakkan pembaziran dan ketirisan tetapi yang penting bagi kita ialah penyelerasan dari segi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Perubahan dan penstukturan mengambil masa sedikit tetapi kita yakin ia perlu dijayakan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement