Anda di sini

Pete Davidson sahkan telah bertunang dengan Ariana Grande

Advertisement
 
 

ANGGOTA barisan bintang ‘Saturday Night Live’ Pete Davidson pada Rabu lepas mengesahkan laporan bahawa dia dan bintang pop Amerika Ariana Grande sudah bertunang selepas berpacaran tidak sampai dua bulan.

Davidson, 24, memberitahu hos program bual bicara itu Jimmy Fallon dalam satu penampilan di ‘The Tonight Show’ bahawa khabar angin sejak seminggu lalu adalah benar.

“Saya bertunang,” kata Davidson apabila ditanya oleh Fallon sama ada dia sudah bertunang ataupun tidak.

“Saya rasa seperti sudah memenangi satu pertandingan,” ujarnya mengenai percintaannya dengan Grande.

Grande, 24, dan Davidson mendedahkan mereka berpacaran pada hujung Mei lalu menerusi laporan media sosial beberapa minggu selepas mereka menamatkan hubungan masing-masing sebelum ini. Media selebriti melaporkan pada minggu lepas bahawa mereka sudah bertunang.

Penyanyi ‘Dangerous Woman’ itu kelihatan memakai cincin berlian pada jari pertunangannya pada awal minggu ini dan media selebriti melaporkan minggu lepas bahawa pasangan itu sudah pindah ke sebuah pangsapuri di Manhattan untuk hidup bersama.

Grande melancarkan kariernya dalam program TV Nickelodeon ‘Victorious’ pada 2009 dan mengeluarkan album studio pertamanya pada 2013. Dia seterusnya menjadi salah seorang artis muda paling popular di Amerika Syarikat dan memenangi tiga Anugerah Muzik Amerika.

Pada Jun 2017, dia menerima pujian kerana kembali ke bandar raya Manchester di England untuk sebuah konsert amal bagi mangsa serangan bom nekad oleh kumpulan Daesh (IS) yang mengorbankan 22 orang beberapa minit selepas Grande menamatkan sebuah konsert.

Davidson memulakan kariernya sebagai seorang pelawak ‘stand-up’ dan menyertai program sketsa satira yang popular  ‘Saturday Night Live’ pada 2014. — Reuters

Advertisement