Anda di sini

Nor Shamsiah dilantik Gabenor BNM bagi tempoh lima tahun

Advertisement
 Lim (dua kanan) bersalaman dengan Nor Shamsiah pada sidang media memperkenalkan Gabenor BNM itu di Kementerian Kewangan, semalam. — Gambar Bernama
TUGAS BAHARU: Lim (dua kanan) bersalaman dengan Nor Shamsiah pada sidang media memperkenalkan Gabenor BNM itu di Kementerian Kewangan, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai, 2018 sehingga 30 Jun, 2023.

Ketika mengumumkannya kelmarin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kementerian itu telah diarahkan bagi mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan  Agong, Sultan Muhammad V, pada 19 Jun lepas telah memberi perkenan terhadap cadangan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk melantik Nor Shamsiah sebagai Gabenor baharu.

“Perdana Menteri telah mengemukakan cadangan beliau pada 18 Jun, 2018, kepada  Yang di-Pertuan Agong bahawa Datuk Nor Shamsiah akan dilantik sebgai Gabenor BNM selama tempoh lima tahun berkuat kuasa mulai 1Julai 2018 hingga 30 Jun 2023,” katanya pada sidang media di Putrajaya, kelmarin.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim, yang meletak jawatan pada awal bulan ini sebelum dapat menamatkan perkhidmatan lima tahunnya sejurus dilantik pada Mei 2016.

Nor Shamsiah pernah menggalas tugas sebagai Timbalan Gabenor BNM pada 2010 hingga 2016 dan berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sebelum ini.

Sebagai Timbalan Gabenor, beliau bertanggungjawab ke atas aspek  penyeliaan perbankan, insurans dan Takaful, perisikan kewangan dan penguatkuasaan, pengurusan bakat, kewangan dan perkongsian perkhidmatan di BNM.

Nor Shamsiah menyertai bank pusat itu pada 1987 dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang termasuk kawal selia berhemat, peraturan, dasar dan garis panduan bagi sektor kewangan dan pengawasan.

Antara pengalaman beliau termasuk terbabit dalam inisiatif resolusi sektor kewangan ketika krisis kewangan Asia.

Beliau turut berperanan penting dalam formulasi dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) serta Pelan Induk Sektor Kewangan (2011-2020) yang merangka pembangunan sistem kewangan Malaysia.

Nor Shamsiah memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Perakaunan University of South Australia dan merupakan seorang  Akauntan Bertauliah (CPA). — Bernama

Advertisement