Anda di sini

Clooney hulur derma, bantah pemisahan keluarga pendatang di sempadan AS

Advertisement
GEORGE CLOONEY
GEORGE CLOONEY

GEORGE Clooney dan John Legend telah memberi derma yang besar kepada badan amal manakala Bruce Springsteen mengganggu pertunjukannya di Broadway untuk mengecam krisis di sempadan apabila dunia hiburan menyuarakan kemarahan mengenai pemisahan keluarga pendatang di sempadan Amerika Syarikat.

Clooney dan isterinya yang juga peguam, Amal, berkata mereka menderma AS$100,000 kepada Pusat Muda untuk Hak Kanak-Kanak Pendatang, sebuah organisasi yang berpangkalan di Universiti Chicago yang menyediakan penasihat undang-undang bagi kanak-kanak yang tidak ditemani.

Pasangan Clooney, pemilik yayasan yang telah membiayai lapan buah sekolah di Lubnan bagi kanak-kanak pelarian Syria, berkata walaupun mereka tidak dapat mengubah dasar Presiden Donald Trump, “kami dapat membantu mempertahankan mangsanya”.

“Pada suatu masa nanti di masa depan, anak-anak kita akan bertanya kepada kita: adakah ia benar, adakah negara kita benar-benar merampas bayi dari ibu bapa mereka dan meletakkan mereka di dalam pusat tahanan? Dan apabila kita jawab ya, mereka akan tanya kita apa yang kita buat mengenainya,” pasangan Clooney itu menyebut dalam satu kenyataan.

Penyanyi pop Legend dan isterinya yang juga seorang model, Chrissy Teigen, terdahulu berkata mereka menderma AS$288,000 kepada Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika untuk menyokong kanak-kanak pendatang yang dipisah.

Springsteen, dengan pertunjukan intim, yang telah menjadi salah satu tiket paling dicari-cari di Broadway di Walter Kerr Theatre, yang mempunyai 960 tempat duduk, sudah mempersembahkan senarai set yang sama untuk 146 konsert – kecuali pada Selasa lepas.

Legenda rock itu tiba-tiba menyampaikan ucapan dari pentas sebelum dia menyanyikan lagu “The Ghost of Tom Joad”, lagu tajuk dari albumnya pada 1995 berdasarkan novel klasik tulisan John Steinbeck “The Grapes of Wrath” tentang petani miskin dari Oklahoma yang lari ke California.

“Kita sedang melihat perkara sekarang di sempadan Amerika yang begitu mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan dan bukan sifat Amerika sehinggakan ia membuatkan kita begitu marah,” kata Springsteen.

“Dan kita telah mendengar orang di kedudukan tinggi dalam kerajaan Amerika mengkufuri Tuhan dalam nama Tuhan dan negara bahawa ia adalah sesuatu yang bermoral untuk menyerang kanak-kanak di kalangan kita.

“Semoga Tuhan menyelamatkan jiwa kita,” katanya. — AFP

Advertisement