Anda di sini

Terjatuh ketika memancing, warga emas lemas, dua cucu hilang

Advertisement
 Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sebuah kapal berdekatan tempat mangsa dipercayai memancing.
LEMAS: Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sebuah kapal berdekatan tempat mangsa dipercayai memancing.

MARUDI: Seorang lelaki warga emas yang juga pesara kerajaan ditemui mati lemas di Sungai Baram di sini pagi semalam, manakala dua cucunya yang turut terjatuh ketika memancing bersamanya belum ditemui.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Sujai Jaraee, 72, ditemui terapung di permukaan air oleh juragan kapal berdekatan lokasi di mana mangsa dipercayai terjatuh ketika memancing.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis jam 5 petang semalam, dua lagi mangsa yang merupakan cucu kepada warga emas tersebut dikenali sebagai Mohd Zafri Waslie, 13, dan Mohd Alyeef Ong, 14, masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Marudi DSP Gabriel Risut berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7 pagi yang menemui mayat terapung di tepi sebuah kapal di jeti tersebut.

“Saya bersama pegawai dan beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan seterusnya mengeluarkan mayat mangsa dari sungai dibantu anggota bomba dan orang kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di lokasi kejadian semalam.

Dalam pada itu, mangsa dikatakan memaklumkan kepada anaknya kira-kira jam 5.50 pagi bahawa beliau hendak keluar memancing bersama dua cucunya di jeti Sungai Baram.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi Penolong Penguasa Bomba Maureen Sim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa lemas mula diaktifkan kira-kira jam 8.14 pagi.

“Pasukan bomba terus beroperasi mencari dan menjalankan ‘surface searching’ dan selaman berdekatan bot-bot ekspres dan sekitar jeti.

“Bomba juga membantu mengambil dan mengangkat mayat warga emas tersebut dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Advertisement