Anda di sini

Son tertekan pikul tanggungjawab besar

Advertisement
SON HEUNG-MIN
SON HEUNG-MIN

SAINT PETERSBURG: Pemain South Korea Son Heung-min memikul beban jangkaan di Piala Dunia yang sama berat seperti Mohamed Salah, Cristiano Ronaldo dan Harry Kane.

Malah Lionel Messi, dengan usaha untuk menambah Piala Dunia kepada koleksi kariernya yang telah menjadi sesuatu umpama objektif bersama bagi bola sepak, menikmati sokongan pasukan Argentina yang dipenuhi bintang, daripada Angel Di Maria hingga kepada Javier Mascherano dan Sergio Aguero.

Bagi Son dan Korea Selatan, tekanan tidak dipikul sama rata yang mungkin hanya diketahui Salah bersama Mesir, sebelum kejohanannya sendiri dihambat oleh kecederaan.

Korea Selatan juga berada di ambang penyingkiran, selepas kekalahan 1-0 kepada Sweden bermakna mereka sekurang-kurangnya memerlukan keputusan seri, dan mungkin kemenangan, dalam perlawanan menentang Mexico pada malam ini (jam 11 malam waktu Malaysia) bagi menghidupkan harapan mereka untuk mara dari Kumpulan F.

Son menyalahkan diri bagi kekalahan pembukaan.

“Saya masih kecewa dengan prestasi saya,” katanya.

“Saya rasa sangat, sangat kesian dengan rakan sepasukan saya kerana jika kami tidak menjaringkan gol, ia adalah kesalahan saya, kerana saya perlu memikul tanggungjawab.”

Tanggungjawab adalah satu perkara, tekanan adalah perkara lain. Son merupakan seorang bintang di negaranya, sehinggakan dia terpaksa menyamar setiap kali dia keluar dari rumah dan wartawan Korea ditugaskan di London, di mana mereka menunggu untuk bercakap dengan penyerang itu selepas setiap perlawanan Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun demikian, walaupun dia menarik begitu banyak perhatian, pemain berusia 25 tahun itu, yang berhijrah ke Jerman ketika dia berusia 16 tahun dan mencipta nama di Hamburg dan Bayer Leverkusen, rendah hati, bermotivasi dan amat popular di kalangan rakan sepasukan.

Dia masih tinggal di Barnet bersama ibu bapanya. Bapanya, Son Woong-jung, merupakan seorang bekas penyerang juga, tetapi karier profesionalnya dipendekkan oleh kecederaan.

Padang latihan Tottenham, yang berpangkalan tidak jauh di Enfield, telah menempatkan chef dari Korea, yang dibawa masuk oleh Son dengan harapan untuk memperkenalkan rakan sepasukan kepada bulgogi (daging lembu panggang), japchae (mi goreng) dan Samgyetang (sejenis sup daging ayam).

Namun bagi Spurs, Son bermain di belakang Kane, dan di sisi Dele Alli dan Christian Eriksen. Dia adalah pemain penting tetapi bukan bintang.

“Ia memang benar dia mungkin tidak menjadi bahan berita utama seperti Harry Kane dan pemain lain tetapi ia adalah bagus untuk mengiktirafnya,” kata jurulatih Tottenham Mauricio Pochettino.

“Ia umpama seorang pemain di sebelah (Lionel) Messi atau Cristiano Ronaldo yang juga wajar menerima banyak pujian.

“Apabila anda bermain di sebelah Harry Kane, yang menjaringkan gol demi gol, ia adalah biasa bahawa fokus lebih diberikan kepada Harry Kane atau kepada Messi atau Ronaldo berbanding kepada Son.

“Namun seluruh pasukan menyukainya. Bukan hanya kerana prestasinya tetapi kerana dirinya sebagai seorang manusia. Dia begitu rendah hati dan seorang lelaki yang begitu normal, dan itu menjadikannya lebih besar.”

Son sudah tentu masih rasa kecewa juga. Sebenarnya mereka yang mengenalinya dengan baik berkata dia lebih sukar menerima kekalahan berbanding orang lain.

Dia duduk di atas padang dan menangis ketika Korea Selatan tewas kepada Honduras pada peringkat suku akhir Olimpik 2016 di Brazil, satu keputusan yang mungkin masih meninggalkan kesan kepada masa depan Son.

Menurut undang-undang di Korea Selatan, dia berhutang khidmat tentera selama 21 bulan dan bakal memulakan khidmat sebelum dia berusia 28 tahun.

Terdapat contoh bagi pemain bola sepak yang berjaya dan diberikan pengecualian, seperti kesnya pada 2002, apabila pasukan kebangsaan mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia, dan 2014, apabila mereka memenangi Sukan Asia.

Son tidak menjalani khidmat empat tahun lalu selepas Bayer Leverkusen enggan melepaskannya dan dilema itu mungkin akan dihadapi Tottenham apabila kejohanan yang sama berlangsung lagi di Indonesia pada Ogos.

Bagaimanapun buat masa sekarang, Korea Selatan mahu Son menjalankan tugasnya di Rostov dalam perlawanan menentang Mexico, pasukan yang telah membuat kejutan terbesar setakat ini di Piala Dunia apabila mereka menewaskan Jerman.

Tekanan adalah ke atas Son untuk menonjolkan diri.

“Apabila dia bermain untuk pasukan kebangsaan, pasukan lawan fokus kepada usaha untuk menjaga Son Heung-min,” kata jurulatih Korea Selatan Shin Tae-yong pada bulan lepas. — AFP

Advertisement