Anda di sini

Satu daerah, satu industri, kata Madius

Advertisement
 Wilfred Madius (dua kanan) menumbuk padi cara tradisional sebagai simbolik merasmikan Pesta Kaamatan di Kampung Bongol semalam. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Wilfred Madius (dua kanan) menumbuk padi cara tradisional sebagai simbolik merasmikan Pesta Kaamatan di Kampung Bongol semalam. — Gambar Bernama

TUARAN: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah sedang melaksanakan kajian bagi mewujudkan satu industri untuk setiap daerah di seluruh negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata bagi tujuan itu pihaknya akan turun padang untuk melawat beberapa daerah terlibat dalam masa terdekat.

“Untuk permulaan, kita akan melancarkan festival di daerah Tuaran yang dikenali sebagai ‘Tamparuli Fest’ pada bulan hadapan, dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Pada festival ini saya berharap masyarakat di Tuaran dapat melihat pelbagai peluang khususnya dalam bidang keusahawanan dan peluang perniagaan,” katanya ketika berucap merasmikan pesta Pesta Kaamatan di Kampung Bongol, dekat sini kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata kementeriannya juga sedang memajukan pembangunan industri minyak dan gas di Sipitang dan Kudat.

“Selain itu kementerian juga akan memajukan industri hiliran untuk kelapa sawit, khususnya di pantai timur Sabah,” katanya.

Madius berkata kementeriannya juga sedang memberi nafas baharu kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan.

“Apa yang kita akan pastikan adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan dengan itu saya sedang membawa beberapa syarikat yang mahu membina kilang mereka di sini,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata pihaknya kini sedang menyusun semula semula pusat perkhidmatan Parlimen Tuaran.

“Kita sedang perbaharui pusat khidmat parlimen itu dan belum lagi melantik kakitangan yang akan bertugas di situ. Buat masa ini sekiranya ada keperluan, rakyat di daerah Tuaran boleh terus berhubung atau berjumpa dangan saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata jawatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Kampung dan Ketua Anak Negeri yang ada sebelum ini terus berfungsi seperti biasa hingga sistem baharu diluluskan kabinet negeri.

“Oleh itu jangan kita membuat atau mendengar sebarang spekulasi mengenai perkara itu hingga sistem baharu yang kini sedang dikaji itu diluluskan. Sistem baharu itu nanti bertujuan untuk mempertingkatkan pembangunan pada peringkat kampung, selain mempertingkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya. — Bernama

Advertisement