Anda di sini

Rintis jalan kuat kuasa undang-undang Sarawak 1 Julai

Advertisement

KUCHING: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Petronas memulakan prosiding terhadap kerajaan negeri membuka jalan kepada Sarawak menguatkuasakan undang-undang negeri mulai 1 Julai 2018.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam menjelaskan, perkara tersebut seperti mana yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada awal tahun ini.

“Ketua Menteri kita ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan perundangan kita dan seluruh rakyat Sarawak di atas doa dan sokongan mereka yang padu agar Sarawak menggunakan hak mereka dalam Perlembagaan berhubung aktiviti gas dan minyak di Sarawak.

“PETROS akan diberi kuasa sewajarnya untuk melaksanakan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak,” menurut kenyataan berkenaan.

Semalam, di Mahkamah Persekutuan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Tan Sri Wira Ahmad Maarop, ketika menolak permohonan itu, menyatakan deklarasi yang dituntut oleh Petronas bukan terletak di bawah bidang kuasa Artikel 4 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Petronas telah menuntut deklarasi bahawa PDA 1974 diguna pakai untuk mengawal selia aktiviti huluan di dalam wilayah Sarawak dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dimansuhkan secara tersirat oleh PDA.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika dihubungi berkata, keputusan mahkamah itu menjadi tamparan besar kepada Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen dan rakan-rakannya.

Katanya, ini kerana sebelum ini Chong serta rakan-rakannya sering memberitahu rakyat Sarawak bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) memberikan hak minyak dan gas kepada Petronas seperti mana dalam perundangan persekutuan.

“Ia satu tamparan besar kepada DAP, Chong dan rakannya yang selalu memberitahu rakyat Sarawak bahawa PDA memberikan semua hak minyak dan gas kepada Petronas sebagai perundangan persekutuan.

“Dan, Sarawak tidak boleh berbuat apa melainkan kerajaan negeri memilih untuk memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah bagi membatalkan PDA,” katanya.

Abdul Karim berkata, Sarawak bersyukur kerana mahkamah memberi keputusan memihak kepada kerajaan negeri dan menolak permohonan Petronas memulakan tindakan guaman terhadap kerajaan negeri.

“Keputusan ini besar implikasinya dan sedikit sebanyak mahkamah mengiktraf kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk ‘regulatory control’ aktiviti minyak yang terdapat dalam kawasan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tahniah kepada pasukan guaman kerajaan negeri Sarawak,” kata beliau.

Penganalisis sosiopolitik, Dato Peter Minos pula berkata, ia merupakan hari bermakna kepada Sarawak dan hari yang perlu diingati memandangkan mahkamah tertinggi negara, iaitu Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan, dengan harapan Petronas tidak mencabar tindakan undang-undang lagi.

“Petronas boleh dan mesti bekerjasama dengan Sarawak sebagai kontraktor minyak dan gas kepada Sarawak dengan terma serta syarat yang sesuai untuk Sarawak dan bukan seperti sebelum ini, di mana Sarawak mendapat hanya sejumlah kecil sahaja daripada hasil minyak dan gasnya sendiri.

“Melalui PETROS, Sarawak berpotensi menghasilkan berbilion ringgit daripada sumber minyak dan gas.

“Sarawak memerlukan kewangan untuk melaksanakan banyak perkara agar sama dengan Semenanjung dalam semua bidang,” katanya sambil memberitahu  harus diingat supaya kekayaan dari minyak dan gas itu harus digunakan secara bijak serta diperketatkan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Katanya, harapan rakyat kini adalah amat tinggi dan mereka mahu kewangan daripada sumber minyak dan gas itu untuk kehidupan lebih baik di masa akan datang.

Advertisement