Anda di sini

Petronas gagal cabar Sarawak

Advertisement
 Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (kanan) bersalaman dengan Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya semalam. Turut kelihatan, Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Dato Sri J.C. Fong (dua kiri). — Gambar Bernama
TAHNIAH: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (kanan) bersalaman dengan Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya semalam. Turut kelihatan, Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Dato Sri J.C. Fong (dua kiri). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petroliam National Berhad (Petronas) untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas di negeri itu.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, yang merupakan satu-satunya hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, menolak permohonan itu selepas memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana relif perisytiharan yang dimohon syarikat minyak negara itu tidak termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, tetapi Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, Petronas tidak secara khusus memohon perisytiharan bahawa undang-undang tertentu tidak sah, yang diperlukan bagi perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

“Pada pandangan saya, relif perisytiharan dimohon pemohon (Petronas) tidak termaktub di bawah Perkara 4 (3) dan Perkara 4 (4) (Perlembagaan Persekutuan), dengan itu relif perisytiharan dimohon pemohon tidak termaktub dalam bidang kuasa eksklusif asal Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Perkara 4 (3) menyatakan bahawa kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengan Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau (a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri atau (b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.

Perkara 4 (4) menyatakan bahawa prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3)… tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama.

Hakim Ahmad berkata, kerajaan Sarawak tidak mempertikaikan hak Parlimen untuk menguatkuasakan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Petronas juga tidak memohon Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO) diisytiharkan tidak sah.

Beliau memerintahkan Petronas membayar RM50,000 sebagai kos kepada kerajaan Sarawak.

Sementara itu, Petronas menarik balik permohonannya bagi penangguhan pelaksanaan perintah di hadapan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Ahmad, Hakim Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Permohonan bagi penangguhan itu berhubung langkah kerajaan Sarawak untuk mula mengawal selia aktiviti huluan di negeri itu di bawah OMO pada 1 Julai tahun ini dan Petronas dikehendaki mendapatkan lesen atau pajakan menjelang tarikh itu.

Dan, jika gagal berbuat demikian aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas dijalankan syarikat itu di Sarawak akan dianggap tidak sah dan tindakan sesuai akan diambil.

Mahkamah kemudiannya membatalkan permohonan itu selepas peguam mewakili Petronas Datuk Malik Imtiaz Sarwar memaklumkan mahkamah tentang penarikan balik itu.

Petronas memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan Sarawak pada 4 Jun tahun ini dan memohon mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa hanya Parlimen mempunyai kompetensi eksklusif di sisi undang-undang untuk menggubal undang-undang tentang aktiviti huluan petroleum atau cari gali, eksploitasi, memenangi dan memperoleh petroleum di pesisir dan luar pesisir di seluruh Malaysia.

Syarikat itu juga mahu perisytiharan bahawa PDA yang dikuatkuasakan oleh Parlimen telah memberi kuasa kepada Petronas menjadi pihak berkuasa eksklusif untuk mengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.

Petronas turut memohon bagi diisytiharkan bahawa OMO secara tersirat telah dimansuhkan oleh PDA.

Petronas mengambil pendirian bahawa PDA telah memberikan kuasa bagi pemilikan petroleum secara eksklusif kepada syarikat itu yang dengan itu akan mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di seluruh negara termasuk Sarawak.

Pertikaian itu tercetus apabila Peguam Besar Sarawak, bagi pihak kerajaan Sarawak memaklumkan kepada Petronas menerusi surat bertarikh 4 April tahun ini bahawa mulai Julai tahun ini kerajaan negeri akan mula mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas negeri di bawah OMO.

Petronas dimaklumkan untuk mematuhi OMO dengan perlu mendapatkan lesen atau pajakan menjelang 1 Julai tahun ini bagi menjalankan kerja cari gali dan eksploitasi minyak dan gas dan perlombongan di Sarawak dan jika tidak, aktiviti huluannya adalah tidak sah.

Kerajaan Sarawak mengambil pendirian bahawa OMO masih undang-undang yang sah dan kerajaan negeri berhak melaksanakan kuasanya di bawah OMO.

Ia menubuhkan syarikat milik kerajaan negeri dikenali Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk mengambil alih sepenuhnya kawal selia aktiviti minyak dan gas di negeri itu.

Di luar mahkamah, Malik Imtiaz berkata, pintu masih belum tertutup bagi Petronas berikutan Mahkamah Persekutuan hanya membuat keputusan berhubung isu bidang kuasa dan tidak membuat sebarang keputusan tentang kesahan PDA.

“Kami akan dapatkan arahan sama ada mahu memfailkan perkara itu di Mahkamah Tinggi. Menurut hakim, jika kami mahu mendapatkan relif perisytiharan yang khusus, kami boleh failkan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan permohonan penangguhan ditarik balik kerana sudah tiada sebarang prosiding di mahkamah berikutan Petronas tidak mendapat kebenaran itu, dan menurutnya, beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan penanggguhan yang baharu di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Dato Sri J.C. Fong, yang mewakili kerajaan Sarawak memberitahu pemberita, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Petronas dan berharap syarikat itu akan terus bekerjasama dengan mereka di peringkat negeri untuk mengharmonikan kedua-dua undang-undang.

“Kami hanya mahu Petronas mematuhi undang-undang negeri dan pada masa yang sama kami akan mematuhi undang-undang persekutuan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan menguatkuasakan undang-undang dengan cara yang boleh menjejaskan mana-mana orang atau industri minyak dan gas di Sarawak, dan Petronas perlu yakin dan percayakan kerajaan negeri. — Bernama

Advertisement