Anda di sini

Peruntukan RM500 ribu diperlukan

Advertisement

Pembaikan bangunan SK Pekan Telupid yang rosak akibat dilanda ribut    


TELUPID: Peruntukan berjumlah RM500,000 diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan bangunan sekolah dan rumah guru serta pelbagai kerosakan lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid.
   
Dua blok bangunan sekolah iaitu Blok A dan B melibatkan lapan bilik darjah adalah tidak selamat digunakan selepas mengalami kerosakan teruk apabila tercabut diterbangkan angin kencang dan ribut yang melanda pekan Telupid sekitar 3.30 hingga 3.40 petang pada 17 Jun lepas.
 
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pihaknya akan memohon peruntukan segera dari kerajaan persekutuan (pusat) melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

YUSOF (dua kanan) dan Maimunah (dua kiri) bersama Benedict Asmat (Pegawai Daerah Telupid) diberi ‘taklimat’ oleh pihak JKR tentang status keselamatan bangunan dan keperluan kos pembaikan pelbagai kerosakan akibat bencana angin ribut pada 17 Jun lepas.
YUSOF (dua kanan) dan Maimunah (dua kiri) bersama Benedict Asmat (Pegawai Daerah Telupid) diberi ‘taklimat’ oleh pihak JKR tentang status keselamatan bangunan dan keperluan kos pembaikan pelbagai kerosakan akibat bencana angin ribut pada 17 Jun lepas.

“Kita diberitahu oleh jurutera daerah (JKR Telupid) bahawa pembaikan kerosakan di sekolah itu memerlukan peruntukan kira-kira RM500 ribu (RM0.5 juta) dan mengambil masa tiga bulan (untuk disiapkan),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja untuk melihat sendiri kerosakan di sekolah itu, Khamis lepas (21 Jun).
   
Hadir sama ialah Pengarah JPN Sabah Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Pegawai Daerah Telupid Benedict Asmat, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Telupid Drs Mahanin Osman, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Telupid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) JPN Sabah Mohd Zaini Yanin, para pegawai Unit Pembangunan JPN Sabah dan Guru Besar SK Pekan Telupid, Dominic Nara.
   
Yusof berkata, kerosakan serius berlaku pada dua blok bangunan (A dan B) apabila atap diterbangkan oleh angin kencang menyebabkan kelas tidak boleh digunakan dan perlu pembaikan segera.
   
Menurutnya, selain kerosakan bangunan sekolah, terdapat juga kerosakan lain melibatkan rumah guru (kuarters), surau dan pondok perhentian bas.

STRUKTUR BANGUNAN REPUT
   
“Kerosakan sekolah kayu yang sudah lama dibina sejak 2002 iaitu 16 tahun lalu, kebanyakan strukturnya telah reput. Memang kalau terkena angin, walaupun tidak sebegitu kuat barangkali, tapi ia akan mudah rosak,” katanya.
   
Mengulas lanjut, beliau berkata bangunan terbabit tidak selamat digunakan dan memerlukan alternatif lain untuk mempastikan sesi persekolahan yang bermula Isnin depan (25 Jun) tidak terganggu atau terjejas.
   
Beliau berkata, perbincangan telah dibuat dan memutuskan lapan bilik darjah yang rosak dan tidak boleh digunakan akan menggunakan bilik-bilik khas sebagai kelas sementara iaitu bilik ICT, Linus, surau, Kemahiran Hidup, pemulihan, muzik, pusat akses dan juga pusat sumber sekolah.
   
Menurutnya, pihak Kementerian Pelajaran dan Inovasi (K-PI) Sabah juga akan memberikan peruntukan secara spontan (serta-merta) sekitar RM12,000 hingga RM15,000 untuk penyediaan beberapa peralatan tambahan seperti kanopi, white board, kerusi dan sebagainya.
   
“Ada juga peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat (melalui KPM) untuk pembelian bahan pembelajaran dan bahan mentah,” ujarnya dan SK Pekan Telupid akan diberikan peruntukan RM100,000 untuk tujuan tersebut.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Pendidikan (Pusat) untuk memohon peruntukan (pembaikan sekolah SK Pekan Telupid) dan telahpun mendapat ‘lampu hijau’ dan insyaAllah akan diberi kelulusan,” katanya kepada media.

SEBAHAGIAN kerosakan atap (bumbung) bangunan sekolah SK Pekan Telupid yang rosak teruk diterbangkan angin kencang dan turut menyebabkan kerosakan atap rumah guru, surau dan pondok menunggu (perhentian bas).
SEBAHAGIAN kerosakan atap (bumbung) bangunan sekolah SK Pekan Telupid yang rosak teruk diterbangkan angin kencang dan turut menyebabkan kerosakan atap rumah guru, surau dan pondok menunggu (perhentian bas).

IBU BAPA DIMINTA BERSABAR
   
Justeru, pihak ibu bapa murid di sekolah itu diminta bersabar dan tidak perlu risau kerana sesi persekolahan dan pembelajaran akan diteruskan seperti biasa menggunakan kelas sementara untuk tempoh tiga bulan, termasuklah menggunakan kanopi (jika perlu).
   
Menurutnya, walaupun sesi pembelajaran (di kelas sementara) mungkin kurang selesa, namun ia bersifat sementara untuk tempoh tiga bulan sahaja dan pihaknya akan sentiasa berusaha menangani masalah yang dihadapi demi kesinambungan sesi pembelajaran murid-murid di sekolah berkenaan.
   
Beliau juga meminta pihak sekolah dan JPN Sabah agar memberi tumpuan kepada murid Tahun 6 untuk mereka fokus kepada pembelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.

SEKOLAH SATU SESI DI SABAH
   
Menjawab soalan lain, Yusof yang juga Adun Sindumin berkata, untuk jangka panjang, semua sekolah di Sabah perlu dijadikan satu sesi (pagi sahaja) supaya lebih mudah dan banyak aktiviti lain boleh diadakan pada sebelah petang.
   
SK Pekan Telupid yang kini mempunyai 760 murid, 63 guru dan sembilan staf sokongan, terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan (sesi pagi dan petang) kerana bilik darjah tidak mencukupi untuk melaksanakan persekolahan satu sesi.

KEBAKARAN RUMAH GURU SK BASAI BARU, BELURAN
 
Sementara itu, Yusof bersama rombongan meneruskan lawatan kerja ke SK Basai Baru, Beluran untuk melihat dua blok tiga unit rumah guru yang musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 16 Jun lalu.
 
Beliau berkata, pihaknya juga akan memohon peruntukan kepada pihak Kementerian Pendidikan (pusat) untuk membina semula rumah guru yang terbakar demi kemudahan dan keselesaan guru-guru di sekolah berkenaan.
 
Dalam kejadian jam 3.30 petang 16 Jun lepas, dua blok bangunan kayu yang masing-masing dibina pada 1986 (projek kilat) dan 2011 itu musnah terbakar, namun tiada kecederaan dilaporkan dan tiada penghuni di rumah guru itu semasa kejadian, kecuali isteri dan empat orang anak guru yang menghuni rumah satu unit tetapi berjaya menyelamatkan diri.
   
Menurut Guru Besar SK Basai Baru, Tsau Maidin berkata guru-guru yang terlibat sebagai mangsa kebakaran itu akan mencari tempat tinggal dengan menumpang sementara di rumah berhampiran sekolah, manakala bangunan prasekolah juga terpaksa digunakan sebagai tempat tinggal guru terbabit jika keadaan mendesak.
  Turut hadir ialah PPD Beluran Haji Soje Haji Abd Hassan, Ketua Unit Pembangunan PPD Beluran Zainal Abidin Mahmud dan Guru Besar SK Basai Baru, Tsau Maidin.                
 
Untuk rekod SK Basai Baru merupakan salah satu daripada 46 sekolah rendah di daerah Beluran,  mula beroperasi pada 1982 dan kini mempunyai murid seramai lebih 128 orang, 13 guru dan tiga orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) atau staf sokongan.

DUA blok tiga unit rumah guru di SK Basai Baru Beluran yang musnah terbakar pada 16 Jun lepas dan memerlukan bangunan gantian dengan segera.
DUA blok tiga unit rumah guru di SK Basai Baru Beluran yang musnah terbakar pada 16 Jun lepas dan memerlukan bangunan gantian dengan segera.

ISU KEBAKARAN BANGUNAN SEKOLAH DAN RUMAH GURU
   
Untuk rekod, sehingga Jun 2018, terdapat tidak kurang lima kes kebakaran melibatkan bangunan di kawasan sekolah, sama ada bangunan sekolah atau rumah guru.                    
   
Dua blok bangunan kayu di SK Sentosa Tawau musnah terbakar pada 23 Februari lepas, kira-kira 12.15 tengah hari, memusnahkan pejabat, bilik guru, pusat sumber, dewan mini, bilik agam Islam, bilik SPBT serta kelas Tahun 1 hingga 3.
   
Pada 7 Mac lepas, sebuah rumah guru di SK Ulu Sugut, 97 kilometer dari Pekan Ranau, musnah terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana api dikatakan bermula dari bumbung bangunan berkenaan.
   
Rumah guru jenis kayu yang dibina pada 2013 itu didiami seramai tujuh orang guru. Semua barangan mereka termasuk dokumen penting gagal diselamatkan dalam kebakaran itu.
   
Sebuah blok bangunan sekolah (jenis kayu) musnah terbakar di SK Nunuk Ragang, 52 kilometer dari Pekan Ranau pada 13 Mac lepas, kira-kira jam 4 petang. Kebakaran itu memusnahkan pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik SPBT, bilik ICT dan kelas Tahun 1.
   
Selain itu, sebuah blok bangunan kayu SMK Wallace Bay Tawau di Pulau Sebatik, musnah dalam kebakaran pada 15 Mei 2018, dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah hari. Sekolah tersebut mempunyai 289 pelajar, 26 guru dan lima orang AKP.      
   
Justeru, selain isu sekolah daif, kekurangan kemudahan bilik darjah, rumah guru, asrama, kantin, pondok RMT, dewan serbaguna, kelengkapan perabot, keperluan air dan elektrik, masalah akses internet dan perhubungan jalan raya ke sekolah yang amat ‘menyedihkan’ khasnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, isu pendawaian elektrik di kebanyakan sekolah di negeri ini juga merupakan antara isu dan cabaran pendidikan di Sabah.
      

  • oleh
  • Advertisement