Anda di sini

Khedira geli hati ditawar tiket pulang

Advertisement
 Khedira ditemu ramah semasa menghadiri sesi latihan di Sochi, Rusia. — Gambar Reuters
BERBUAL: Khedira ditemu ramah semasa menghadiri sesi latihan di Sochi, Rusia. — Gambar Reuters

SOCHI: Bintang Jerman Sami Khedira kelmarin ketawa apabila seorang pemberita Sweden menawarkan penerbangan pulang awal kepada juara bertahan itu sebelum perlawanan mereka yang penting dalam kejohanan Piala Dunia.

Juara bertahan Jerman akan menerima tekanan yang kuat dalam perlawanan Kumpulan F itu di Sochi pada awal pagi esok (jam 2.00 pagi Ahad) menentang Sweden selepas mengalami kekalahan mengejut 1-0 kepada Mexico dalam perlawanan pertamanya di kejohanan tersebut.

Pemain tengah Juventus itu tenang sahaja apabila seorang pemberita tabloid dari Sweden memberikan tiket pulang buatan sendiri untuk seluruh skuad Jerman.

“Saya rasa kami tidak memerlukan itu sehingga 16 Julai,” kata Khedira sambil tersenyum.

Perlawanan akhir Piala Dunia berlangsung di Moscow pada 15 Julai.

Pasukan Jerman amat serius sekali menjelang perlawanan menentang Sweden, kerana mereka tahu kekalahan bermakna mereka pulang pada hujung peringkat kumpulan.

Walaupun ada seruan untuk menggugurkannya, Khedira menegaskan dia dapat menangani tekanan dan menguatkan bahagian tengah Jerman, yang didedahkan dengan ketara oleh pasukan Mexico.

Dua bekas bintang Jerman, Lothar Matthaeus dan Stefan Effenberg, berkata Khedira harus digugurkan selepas persembahannya yang buruk.

“Saya tidak ada masalah langsung dengan perkara itu, saya dapat menerimanya,” kata Khedira, yang merujuk kepada kritikan tersebut.

“Saya sendiri tahu saya tidak bermain dengan baik.”

Khedira sering terkeluar dari posisi di bahagian tengah apabila Mexico melakukan serangan balas di separuh masa pertama pada Ahad lepas.

“Kami perlu bermain dengan lebih pintar, bukan seperti budak sekolah, kami perlu bermain bersama,” katanya.

“Jika lubang sebesar lubang dalam perlawanan menentang Mexico, kita memerlukan Usain Bolt dan Carl Lewis untuk menutup lubang – dan kami bukan mereka,” katanya mengenai dirinya dan rakan di bahagian tengah Toni Kroos.

Jika ketua jurulatih Joachim Loew memilih untuk menggugurkan Khedira dari kesebelasan utama, pemenang Piala Dunia 2014 itu dapat menerimanya.

“Saya tidak ada masalah langsung dengan perkara itu. Ia bukan mengenai nama dan bermain dalam setiap perlawanan,” katanya.

Loew menyifatkan Khedira sebagai “amat diperlukan” sebelum Piala Dunia bermula tetapi pemain tengah itu sedar mengenai kritikan yang dilemparkan kepadanya dan Kroos daripada barisan pertahanan Jerman.

“Kita tidak harus membiarkan diri tertarik dengan situasi dan tidak mempedulikan tugasan, hanya kerana ia amat menarik untuk pergi ke hadapan,” kata pemain pertahanan tengah Mats Hummels di Sochi dalam satu kritikan yang agak jelas.

Khedira tahu tumpuan akan diberikan kepadanya di Sochi tetapi memiliki pengalaman selepas 76 perlawanan antarabangsa untuk menyahut cabaran.

“Kami menerima tekanan lebih awal daripada kebiasaan,” katanya. “Kami perlu menang, kami tidak ada ‘wild card’ – tidak ada bonus.” — AFP

Advertisement