Anda di sini

Kerajaan akan rombak syarikat berkaitan GLC

Advertisement
SHAFIE (dua kiri) menerima cendera kenangan darpada Chew sambil disaksikan oleh Kenny (kiri), Azis (dua kanan) dan Azhar.

KOTA KINABALU: Rombakan akan dilakukan ke atas syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam masa terdekat bagi melancarkan lagi pentabiran dalam negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rombakan itu diperlukan bagi memudahkan dasar-dasar baharu diperkenalkan seterusnya dilaksanakan secepat mungkin.

"Dasar-dasar baharu ini akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat khususnya dalam usaha kerajaan negeri mewujudkan peluang pekerjaan.

"Kita akan bersama-sama membangunkan ekonomi Sabah dan dasar-dasar yang baik ini tidak dapat ditingkatkan sekiranya rakyat tidak disertakan sekali," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Sepanggar anjuran bersama Grand Merdeka Raya ERA, di sini hari ini.

Beliau berkata, Sabah kaya dengan sumber-sumber semula jadi dan ianya perlu diterokai sebaik-baiknya agar faedahnya dapat dinikmati rakyat.

Ketika ditemui, Shafie yang juga Menteri Kewangan menjelaskan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk meluluskan sebarang pembangunan berkaitan dengan hartanah di negeri ini.

Katanya, kelulusan pembangunan hartanah kini tidak lagi perlu melalui Ketua Menteri sebaliknya akan diproses melalui jawatankuasa itu.

"Sebelum ini kelulusan berkaitan hartanah perlu melalui kebenaran Ketua Menteri tetapi kini untuk memendekkan dan memudahkan kerja serta masa, ianya hanya perlu melalui jawatankuasa itu.

"Pendekatan ini juga dilakukan bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan hartanah di Sabah," katanya.

Shafie berharap dengan pendekatan baharu itu, pembangunan hartanah di Sabah dapat dilakukan secepat mungkin dengan kos berpatutan seterusnya menyenangkan pihak pembeli.

Katanya, pihak pengurusan pusat membeli belah juga digalakkan untuk menurunkan harga sewa agar mampu menarik lebih banyak peniaga untuk datang berniaga.

"Keadaan ini sudah pasti mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke pusat membeli belah itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petroliam National Berhad (Petronas) untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak itu.

Katanya, keputusan itu bukan sahaja membabitkan hak dari segi kerajaan Sarawak tetapi juga di Sabah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Kenny Chua, Adun Karambunai Azhar Matussin serta Pengarah Eksekutif Grand Merdeka Development Sdn Bhd Chew Sang Hai dan menteri Kabinet yang lain.

  • oleh
  • Advertisement