Anda di sini

Ian nyata kecewa skuadnya tewas kepada PDRM

Advertisement
 Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kanan) dikawal ketat pertahanan PDRM pada pertemuan Liga Premier 2018 di Stadium Shah Alam kelmarin.
KECUNDANG: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kanan) dikawal ketat pertahanan PDRM pada pertemuan Liga Premier 2018 di Stadium Shah Alam kelmarin.

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas tipis 1-0 di tangan PDRM dalam aksi Liga Premier kelmarin.

Menurut Ian, perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu sepatutnya menjadi milik Sarawak melihat kepada deretan peluang dimiliki mereka.

“Kita mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Namun, setiap peluang kita dikecewakan palang gol, ketangkasan penjaga gol tuan rumah dan penyudah yang lemah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, ketiadaan beberapa pemain tonggak akibat kecederaan dan penggantungan sedikit sebanyak mengganggu percaturan beliau pada perlawanan itu.

Di sebalik itu, beliau tetap memuji komitmen dan semangat ditunjukkan barisan pemain sepanjang perlawanan itu.

“Saya harap kekalahan ini tidak menjejas fokus pemain untuk menghadapi Sabah pada 26 Jun ini kerana kita perlu mengutip mata dari perlawanan itu,” katanya lagi.

Pada perlawanan kelmarin, Shahurain Abu Samah muncul wira PDRM dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-33.

Ia kekalahan ketujuh Sarawak untuk meletakkan skuad Ngap Sayot di tangga kelapan liga ketika ini dengan hanya mengumpul 16 mata dari 15 perlawanan.

Sarawak dijadual menentang Sabah pada 26 Jun ini di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Advertisement