Anda di sini

Ekstasi, dadah: Penganggur hadapi hukuman mati jika sabit kesalahan

Advertisement

KUCHING: Seorang penganggur berhadapan hukuman mati jika disabitkan kesalahan kerana didapati memiliki 4,980 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai mencecah RM249,000 dalam serbuan ke atas pangsapuri di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, serbuan tersebut dilakukan sekitar jam 11.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, selain ekstasi, turut ditemui ialah dadah jenis syabu dianggarkan seberat 535 gram dengan nilai sekitar RM80,250.

“Lelaki (suspek) berusia 26 tahun itu terdahulunya ditahan di tempat letak kereta pangsapuri tersebut sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas kediaman dan menemui satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Selain itu, turut ditemui ialah satu kotak yang mengandungi 14 peket plastik lutsinar berisi 4,980 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sahar selain itu memberitahu, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Turut disita ialah sebuah kereta yang dianggarkan bernilai RM60,000, barangan kemas dianggarkan bernilai RM5,556 dan sejumlah wang tunai kira-kira RM4,037,” katanya yang turut mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek yang berasal dari Jalan Berjaya, Sibu itu ditahan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Advertisement