Anda di sini

100 peserta jayakan Larian Obor APMG

Advertisement
 Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai (lima kiri) mewakili pasukan Larian Obor di Mulu, menyerahkan obor kepada Yii, sambil disaksikan yang lain.
SERAH OBOR: Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai (lima kiri) mewakili pasukan Larian Obor di Mulu, menyerahkan obor kepada Yii, sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Sekitar 100 peserta di sini telah menjayakan Larian Obor Asia Pasific Masters Games (APMG) pada petang kelmarin.

Majlis perasmian larian sejauh empat kilometer itu yang bermula dari Grand Oil Lady Miri hingga ke Marina Central Park telah disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Larian Obor APMG Rashidah Jalaludin, Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad, Setiausaha MBM Morshidi Fredrick, serta wakil-wakil ketua jabatan kerajaan dan ahli MBM.

Yii dalam ucapannya memberitahu, larian itu bersempena acara APMG yang julung kali akan diadakan di Pulau Pinang pada 7 hingga 15 September.

“Acara APMG ini melibatkan kesemua kakitangan pihak berkuasa tempatan dari seluruh Asia yang dikendalikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

“Terdapat 21 acara sukan akan dipertandingkan dengan para peserta akan mengambil bahagian mengikut kumpulan usia dan kategori mengikut minat masing-masing sama ada secara bersaing, rekreasi atau kepentingan sosial,” jelasnya.

Menurut Yii, acara sukan itu turut bertujuan memupuk persahabatan dan semangat muhibah di kalangan peserta kelak, selain memperomosikan acara sukan induk terutamanya dalam  rantau Asia .

Yii turut berterima kasih kepada pihak penganjur iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang juga melibatkan MBM untuk menyertai larian obor yang merupakan antara program yang diselitkan sempena APMG.

“Kita amat berbesar hati kerana turut terlibat dalam larian obor ini dalam usaha menjayakan program APMG.

“MBM sebagai ahli Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) juga akan memberikan sokongan penuh terhadap acara berkenaan,” ujarnya.

Beliau berharap peserta yang menyertai larian obor berkenaan dapat mengambil peluang tersebut untuk turut menikmati suasana tenang di sekitar bandar raya Miri.

Larian obor APMG telah mula dilaksanakan bermula 28 April di Kudat, Sabah dan kini memasuki negeri Sarawak.

Advertisement