Anda di sini

W & E Entertainment semakin dikenali dan jadi tumpuan bakat baharu

Advertisement
 Artis-artis W & E Entertainment pada pelancaran album kompilasi pertama mereka.
MANTAP: Artis-artis W & E Entertainment pada pelancaran album kompilasi pertama mereka.

SEBUAH label rakaman di Sibu iaitu W & E Entertainment semakin serius mengorak langkah untuk lebih berkembang dalam industri muzik Iban di negeri ini.

Nama yang kian dikenali ini merupakan label rakaman yang tidak sampai setahun ditubuhkan namun sudah mula mencipta landasan mereka yang tersendiri.

Justeru, ianya sering menjadi tumpuan penyanyi sekitar Sarikei, Bintulu, Mukah dan Miri bagi penghasilan album masing-masing ataupun secara kompilasi.

Menurut kenyataan media W & E Entertainment yang diemelkan kepada penulis baru-baru ini, label rakaman itu diasaskan sekitar lapan bulan lalu oleh dua rakan kongsi berdarah seni iaitu Wandie Alie dan Elizabeth Bungan dengan kerjasama iMuzik Worstation Studio yang berpengkalan di Sibu.

Semenjak ia ditubuhkan, W & E Entertainment mempunyai seramai 47 orang penyanyi termasuk enam penyanyi baharu yang dipilih menerusi ujibakat mereka pada Mei lepas.

“W & E Entertainment diterajui oleh Wandie selaku penerbit merangkap pengurus produksinya. Beliau bukan asing lagi dalam industri muzik Dayak kerana sebelum ini beliau turut aktif sebagai vokalis kepada sebuah band tempatan iaitu Rentak Pengabang.

“Namun, beliau kini meneruskan perjalanan secara solo dengan memberi tumpuan dalam penerbitan lagu-lagu Iban di bawah label rakamannya.

“Ia secara tidak langsung dilihat melahirkan serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam industri muzik Dayak di negeri ini,” kata kenyataan itu.

 Wandie (kiri), Iskandar (duduk) serta yang lain ketika berada di studio.
DI SEBALIK TABIR: Wandie (kiri), Iskandar (duduk) serta yang lain ketika berada di studio.

Wandie yang merupakan anak didik kepada jurubunyi/juruaudio terkenal Iskandar Bujang ini juga turut kian dikenali ramai apabila dua buah lagu ciptaan beliau iaitu ‘Kumang Pakan’ dan ‘Bujang Kanowit Ku Suba’ turut menjadi viral di media sosial terutamanya di facebook selain dari Youtube.

Sehubungan itu, pada Mei lepas W & E Entertainment telah melancarkan album sulung keluaran label rakaman mereka iaitu Album Kompilasi W & E Volume 1 berjudul ‘Udah Selatan Tua’.

Album ini memuatkan sembilan buah lagu di mana lagu ‘Udah Selatan Tua’ ini adalah nyanyian Wandie feat Cynthia Quallarm.

Lagu-lagu lain ialah ‘Kumang Pakan’ nyanyian Desmond Leo, ‘Ketegal Iya’ (Nathan), ‘Ambai Tupi Besegi’ (Donny E), ‘Selalu Rindu’ (Thomas Pengiran), ‘Pengerindu Ujung Nyawa’ (Frankey Fiq), ‘Pulai Meh Asie’ (Mael Volhee), ‘Lebu Ketegal Sulu’ (Jerry Jay) dan ‘Bujang Kanowit Ku Suba’ (Diana Tiffany).

Album yang mendapat sentuhan daripada Iskandar ini juga turut melibatkan ramai pemuzik-pemuzik terkenal terutamanya gitaris dan pemain drum seperti Ajis The Crew, Rom Tamang Raja, Ray Ambushed, Eric D’Rascom, Jebie Ujang, Abib, Kibek Majestica, Unar Rino, Mael Volhee dan Sany.

Muzik album ini disusun oleh empat penyusun muzik terkenal iaitu Ricky Jay, Iskandar Bujang, Wandie Alie dan Natz JV.

Album itu kini sudah boleh didapati secara tempahan menerusi ejen terpilih yang telah diumumkan oleh Wandie sendiri di akaun rasmi facebook milik beliau dan bakal dipasarkan ke kedai seluruh negeri dalam masa terdekat ini.

Selain itu, W & E Entertainment turut terlibat dalam pengeluaran album solo Andson Lasu berjudul ‘Sanggup Napi Penguji’ dengan kerjasama Syarikat Irama yang kini sudah pun boleh didapati dari ejen terpilih selain bakal dipasarkan di kedai-kedai di seluruh negeri ini.

Sementara itu, antara lagu-lagu kompilasi yang kini sudah siap untuk diperdengarkan kepada umum seperti ‘Ba Pengujung Simpang Ati’ nyanyian Angelique Audrey, ‘Semina Tiga Ari’ (Ambushed Band), ‘Penyayau Aku’ (Chriz Lazarus) dan ‘Badu Ngenang’ (Nicho feat Bhiytha).

W & E Entertainment juga bakal mengeluarkan album solo Welley Mahi iaitu ‘Terunjam Padam’ dan empat buah lagi album kompilasi tersebut yang sekarang ini masih dalam proses rakaman dan ada yang sudah siap sepenuhnya.

Kepada mereka yang berminat untuk membuat album atau merakam lagu ‘single’ di bawah seliaan pengurusan W & E Entertainment bolehlah menghubungi Wandie di talian 011-60961455 atau terus melayari ke facebooknya Wandie Alie ataupun halaman rasmi W & E Entertainment.

  • oleh
  • Advertisement