Anda di sini

Trump arah henti pemisahan keluarga imigran

Advertisement
 Diperhati oleh Naib Presiden Mike Pence (kanan) dan Setiausaha Keselamatan Tanah Air Kirstjen Nielsen,            Trump menunjukkan perintah eksekutif mengenai imigran yang baharu ditandatanganinya di Washington, kelmarin. — Gambar AFP
PERINTAH EKSEKUTIF: Diperhati oleh Naib Presiden Mike Pence (kanan) dan Setiausaha Keselamatan Tanah Air Kirstjen Nielsen, Trump menunjukkan perintah eksekutif mengenai imigran yang baharu ditandatanganinya di Washington, kelmarin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengarah-kan dihentikan pemisahan anak-anak imigran daripada ibu bapa mereka di sempadan Amerika Syarikat (AS) kelmarin, untuk menarik balik dasar keras selepas menerima tekanan yang kuat daripada rakan Republikan, ahli Demokrat dan masyarakat antarabangsa.

Perubahan menakjubkan itu berlaku selepas lebih 2,300 kanak-kanak dipisahkan dari-pada ibu bapa mereka dan saudara-mara dewasa selepas mereka merentasi sempadan secara haram sejak 5 Mei dan ditempatkan di kem khemah dan kemudahan lain, tanpa cara untuk menghubungi ahli keluarga.

Walaupun perintah itu sudah dikeluarkan, tiada rancangan dibuat untuk me-nyatukan semula ribuan kanak-kanak yang sudah dipisahkan daripada keluarga mereka, menurut beberapa laporan media AS yang memetik pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan (HHS).

Kanak-kanak itu akan terus dipisahkan sementara ibu bapa mereka berada dalam tahanan persekutuan sewaktu prosiding imigresen, menurut akhbar The New York Times, sebelum pegawai menjauhkan diri daripada kenyataan itu lewat kelmarin.

“Ia masih terlalu awal dan kami sedang menunggu bimbingan selanjutnya mengenai perkara itu,” kata Brian Marriott, pengarah kanan komunikasi di Pentadbiran Kanak-Kanak dan Keluarga HHS.

“Penyatuan semula sentiasa menjadi matlamat utama,” katanya.

Gambar dan laporan mengenai pemisahan itu mencetuskan kemarahan dan pemberontakan di kalangan ahli-ahli Republikan dalam parti Trump sendiri, selain tuduhan antarabangsa bahawa AS melakukan pelanggaran hak asasi manusia.

“Apa yang kami telah buat pada hari ini ialah kami menyatukan keluarga,” kata Trump ketika beliau menandatangani perintah eksekutif itu.

“Saya tidak suka melihat atau merasai keadaan keluarga yang dipisahkan.”

Di satu perhimpunan penyokong ala kempen kemu-dian di negeri utara Minnesota, beliau menegaskan perubahan itu bukan bermakna keadaan di sempadan akan dilonggarkan.

“Kita akan mengekalkan keluarga bersama, tetapi sempadan tetap akan sukar,” katanya.

Trump kemudian me-nuduh ahli Demokrat mengutamakan “pendatang tanpa izin lebih daripada mereka mengutamakan rakyat Amerika”.

Selama berminggu-minggu Trump menegaskan beliau dituntut oleh undang-undang untuk memisahkan anak-anak daripada ibu bapa mereka dan hanya Kongres sahaja dapat menyelesaikan masalah itu – sebelum beliau mengubah pendirian dengan radikal.

Anak perempuan dan penasihatnya Ivanka dilaporkan telah menggesa bapanya untuk menamatkan pemisahan itu manakala Wanita Pertama Melania Trump membuat rayuan politik yang jarang sekali dilakukannya dengan menyatakan negara itu perlu memerintah “dengan hati”.

“Kita mahukan keselamatan bagi negara kita,” kata presiden itu kelmarin. “Dan kita akan ada keselamatan – pada waktu yang sama, kita ada belas kasihan.”

Perintah itu menyebut Jabatan Keselamatan Tanah Air – dan bukan Jabatan Kehakiman dan Jabatan Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan, seperti di bawah dasar lama – akan terus memikul tanggungjawab bagi keluarga terbabit.

Ia turut mendakwa kerajaan berhasrat untuk menahan keluarga sampai bila-bila masa dengan mencabar statut sedia ada, Penempatan Flores 1997, yang meletakkan had 20 hari ke atas tempoh untuk menahan kanak-kanak, bersendirian atau bersama ibu bapa mereka.

Langkah itu boleh me-nimbulkan masalah undang-undang baharu bagi pentadbiran.

Trump berkata dasar “toleransi sifar” perlu dipelihara untuk mencegah jenayah, yang beliau kaitkan dengan pendatang tanpa izin.

“Kita masih perlu menge-kalkan kecekalan, jika tidak negara kita akan dipenuhi manusia, jenayah, semua perkara yang kita tidak sokong dan kita tidak nanti-kan,” katanya.

Terdahulu, ketika negara-negara meraikan Hari Pelarian Sedunia kelmarin, pemimpin global menyelar Trump di atas pemisahan keluarga.

Perdana Menteri Bri-tain Theresa May, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Majlis Eropah dan Pope Francis semua mempertikaikan dasar “toleransi sifar”.

May berkata gambar kanak-kanak pendatang yang dikurung dalam unit umpama sangkar “amat meresahkan”, dan Council of Europe, sebuah badan pengawasan hak asasi manusia global, berkata Trump sudah melepaskan sebarang tuntutan ke atas kepimpinan moral di dunia.

Gene Hamilton, seorang pegawai kanan di Jabatan Keadilan, berkata perintah eksekutif berkenaan adalah satu langkah “stopgap” dan Kongres perlu meluluskan rang undang-undang baharu untuk memberi kuasa lebih kepada presiden bagi me-merangi imigresen.

Undang-undang sekarang termasuk Penempatan Flores, katanya, hanya menggalakkan orang untuk memasuki negara bersama anak-anak mereka, kerana menjangka akan ditangkap dan kemudian dilepaskan ke dalam masya-rakat AS. — AFP

Advertisement