Anda di sini

Projek infrastruktur di jalan pesisir wajar terus dilaksana

Advertisement
 Julaihi (dua kiri) bersama isteri Datin Saadiah Buji (kiri) merakam kenangan bersama Tun Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah serta Abang Johari (kanan) serta isteri Juma’ani (dua kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, malam kelmarin.
SELAMAT HARI RAYA: Julaihi (dua kiri) bersama isteri Datin Saadiah Buji (kiri) merakam kenangan bersama Tun Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah serta Abang Johari (kanan) serta isteri Juma’ani (dua kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, malam kelmarin.

KUCHING: Projek pembinaan infrastruktur di jalan pesisir wajar terus dilaksanakan agar tiada lagi laluan terputus atau ‘missing link’ kepada penduduk luar bandar Sarawak.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, ini termasuk projek pembinaan jambatan dibiayai kerajaan persekutuan yang perlu diteruskan memandangkan ia menjadi perhubungan penting kepada rakyat Sarawak.

“Sebagai contoh, projek pembinaan jambatan Batang Lupar. Ia merupakan jambatan paling strategik di jalan pesisir yang memanfaatkan puluhan ribu rakyat sekitarnya.

“Bukan itu sahaja, ia menjadi laluan kepada penduduk dari bahagian utara dan selatan negeri ini yang memilih untuk menggunakan jalan pesisir sebagai laluan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abang Muhammad Salahuddin serta isteri Toh Puan Norkiah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang serta menteri kabinet lain di kediamannya di sini, malam kelmarin.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, memandangkan pembiayaan bagi jambatan Batang Lupar berdasarkan separuh atau 50 peratus kerajaan negeri dan 50 peratus kerajaan persekutuan, ia diharap dapat diluluskan oleh kerajaan persekutuan yang baharu.

Tambahnya pembinaan jambatan berkenaan perlu dibina kerana ia mempunyai aliran trafik tinggi sehingga menyebabkan kesesakan terutama pada musim perayaan.

Julaihi menjelaskan buat masa ini, penduduk sekitar kawasan itu menggunakan laluan feri Sebuyau-Triso menyeberangi sungai terbabit.

“Pada perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, laluan berkenaan menyaksikan kenderaan beratur panjang.

“Malah, ada antara pengguna terpaksa menunggu sehingga tiga jam atau dua jam setengah untuk menggunakan feri yang mengambil masa mengambil masa 45 minit untuk menyeberanginya,” kata beliau.

Selain jambatan Batang Lupar katanya, dua lagi jambatan yang dibiayai sepenuhnya kerajaan persekutuan juga diharap dapat diluluskan seperti sebelumnya, iaitu Jambatan Batang Igan dan Rambungan.

Katanya, jalan adalah akses penting kepada Sarawak khasnya menghubungkan penduduk luar bandar di sepanjang laluan pesisir.

Menurutnya, tiga jambatan itu masih menunggu kelulusan daripada kerajaan persekutuan kerana ia melibatkan dana kerajaan pusat.

Manakala, dua jambatan iaitu Jambatan Batang Samarahan dan Batang Sadong telah siap sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata beberapa projek pembinaan jambatan dalam pakej yang dibiayai kerajaan Sarawak tetap diteruskan seperti yang dirancang.

Ini termasuk jambatan Batang Krian, Batang Saribas, Muara Lassa dan Batang Rajang.

  • oleh
  • Advertisement