Anda di sini

Pereka cipta kelahiran Tawau hasilkan alat bantu pergerakan tangan 3D

Advertisement

TAWAU: Seorang pereka cipta muda asal Tawau muncul dengan alat bantu pergerakan tangan berkonsepkan 3D berasaskan material plastik dan getah untuk mengatasi masalah pergerakan jari.

Graduan lulusan Diploma Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Mohd Nadzmi Barudin, 28, berharap rekaannya itu akan dapat dimanfaatkan.

NADZMI
NADZMI

“Konsep rekaan sebegini amat popular di Eropah, sebab itu juga saya berusaha menghasilkan prototaip sendiri berasaskan material yang lebih murah,” katanya.

Nadzmi berkata usaha menghasilkan alat bantu pergerakan tangan itu baharu sahaja dimulakannya pada 27 Mei lepas berasaskan material seperti plastik, tali nylon dan getah.

Menurutnya, prototaip pertama dinamakan sebagai N-0822, manakala prototaip keduanya pula T-Prosthetic, manakala prototaip ketiganya masih belum diberikan nama setakat ini.

“Kalau di Eropah, mereka menghasilkan projek 3D prostetik sebegini menggunakan material yang berkualiti tinggi dan melibatkan kos besar untuk pasaran di Malaysia.

“Sebab itu saya mahu menghasilkan produk serupa tetapi menggunakan material yang lebih murah, jimat dan berkualiti tanpa mengenepikan faktor 'mesra pengguna',” katanya.

Beliau berkata prototaip asal projek itu dihasilkan sebuah organisasi sukarelawan antarabangsa disertai lebih 1,500 komuniti pereka cipta, pakar teknologi dan pengkaji.

“Organisasi itu dikenali sebagai e-NABLE, yang aktif menghasilkan model-model alat bantu untuk golongan kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah di seluruh dunia.

“Prototaip ini dikongsikan dalam bentuk ‘open source’, yang membolehkan kita menghasilkan produk di situ secara bebas, percuma dan bebas hak cipta,” katanya.

Anak sulung daripada lima adik beradik dari Kg Jawa Kongsi 10 ini berkata ilhamnya tercetus selepas menonton video tular seorang murid Orang Kurang Upaya (OKU).

Mengulas lanjut, beliau begitu tersentuh dengan paparan video tular murid OKU bernama Ainaa Amanda yang menjadi mangsa buli akibat masalah tangan yang dihadapinya.

“Saya benar-benar berharap alat ini dapat membantu golongan yang menghadapi masalah pergerakan jari dan OKU supaya boleh menikmati kehidupan mereka dengan lebih baik.

NADZMI (kiri) membawa ketiga-tiga ciptaan ciptaannya semasa mengunjungi pakar ortopedik Hospital Tawau.
NADZMI (kiri) membawa ketiga-tiga ciptaan ciptaannya semasa mengunjungi pakar ortopedik Hospital Tawau.

“Saya juga tidak keberatan jika ada pihak seperti rumah kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan yang berminat untuk mendapatkan alat ini,” katanya.

Pada masa sama, Nadzmi akui alat rekaannya itu sudah mula mendapat perhatian beberapa pihak di negara ini, namun proses perbincangan masih lagi dijalankan.

Beliau berkata matlamat utamanya adalah untuk membantu seramai mungkin golongan memerlukan dan berharap cita-citanya itu akan dapat dicapai pada masa akan datang.

  • oleh
  • Advertisement