Anda di sini

Penglibatan sektor swasta bangun rumah mampu milik disambut baik

Advertisement

KUCHING: Penglibatan sektor swasta dalam pembangunan rumah mampu milik di negara ini disambut baik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, ia seiring dengan usaha beliau untuk meningkatkan lagi kualiti rumah mampu milik yang ketika ini dikatakan tidak kondusif untuk didiami.

Katanya, pemaju dari sektor swasta menunjukkan sokongan kepadanya semenjak beliau mengambil alih portfolio itu yang sudah genap sebulan semalam selepas  mengangkat sumpah sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Mereka (pemaju swasta) melihat beberapa kenyataan saya dan temu bual saya bersama media, mereka melihat dengan jelas hala tuju yang saya ambil dan memberi maklum balas serta sokongan yang sangat cepat . Saya sangat terkejut.

“Di sini jelas menunjukkan mereka mempunyai semangat patriotisme kerana kerajaan baharu dibentuk. Mereka menyokong dasar-dasar baharu untuk memajukan lagi Malaysia,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Borneo dan The Borneo Post di sini, semalam.

Malah menurut Ahli Parlimen Ampang itu, ramai pemaju swasta datang berjumpa dengannya memberitahu mereka tidak memfokus kepada keuntungan tetapi mahu menyumbang semula kepada negara.

Beliau berkata, sokongan itu diberikan selepas KPKT mencadangkan agar bank atau institusi kewangan mengambil kira semua pendapatan lain pemohon pinjaman perumahan seperti pendapatan kedua atau ketiga sebagai penentu kriteria bayaran balik pinjaman.

Katanya, cadangan itu bagi mengurangkan kadar permohonan pinjaman perumahan daripada kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah ditolak bank.

Menurutnya, cadangan itu dipercayai dapat menyediakan fleksibiliti penarafan kredit yang lebih baik terutama bagi permohonan pinjaman perumahan daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40).

“Selain pendapatan kedua dan ketiga, saya berpendapat bank juga harus melihat pendapatan yang diunjurkan apabila mempertimbang untuk memberi pinjaman perumahan.

“Saya percaya bagi pemohon yang bekerja, kenaikan gaji berlaku dari semasa ke semasa. Perkara ini perlu diambil kira.

“Dalam tempoh lima tahun, pendapatan mereka seharusnya lebih baik daripada sekarang, jadi kita harus memberikan penilaian seperti itu sama ada mereka boleh membuat pinjaman atau tidak,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu masih belum dirujuk kepada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.

“Kami dalam proses menetapkan tarikh mengadakan mesyuarat dengan Bank Negara dan Kementerian Kewangan. Ia perlu diadakan dalam waktu terdekat kerana ini perkara yang sangat penting. Saya berharap dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Zuraida juga menyatakan kemungkinan KPKT memperkenalkan skim ‘sewa dan milik’ bagi kumpulan B40 yang memilih untuk menyewa bagi tempoh tiga tahun pertama sebelum membuat keputusan membeli hartanah berkenaan.

Namun perincian mengenai perkara itu katanya, hanya akan dimaklumkan selepas ia dimuktamad dan mendapat kelulusan kabinet.

Advertisement