Anda di sini

Penentuan prosiding hari ini

Advertisement
 Hasidah bersama barisan peguam dan pegawai pemerhati dari Sarawak terdiri daripada JC Fong dan Talat. Turut kelihatan, Awang Bemee, Sebastian, Abdullah Zaidell di Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam.
DEMI SARAWAK: Hasidah bersama barisan peguam dan pegawai pemerhati dari Sarawak terdiri daripada JC Fong dan Talat. Turut kelihatan, Awang Bemee, Sebastian, Abdullah Zaidell di Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini akan memutuskan permohonan adakah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) boleh meneruskan prosiding terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak kawal selia ke atas aktiviti huluan minyak dan gas di Sarawak.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop yang mengadili kes berkenaan berkata ia mengambil masa untuk membuat pertimbangan dan akan memaklumkan keputusan pada jam 9.30 pagi.

Ketua peguam yang mewakili Petronas Datuk Malik Imtiaz Sarwar ketika ditemui wartawan selepas prosiding itu berkata mereka telah memfailkan agar kes itu didengar dengan segera.

“Sarawak menetapkan 1 Julai sebagai tarikh akhir terhadap Petronas,” katanya.

Malik yakin Sarawak akan membantah dan mereka bimbang jika pada 1 Julai tidak ada penjelasan, akan wujud dua mekanisme peraturan berhubung aktiviti cari gali minyak dan gas di Sarawak.

“Ini adalah sebahagian daripada hujah kerana sebelum Sarawak menyertai Malaysia, ia adalah tanah jajahan British dan untuk sementara waktu, ia adalah (wilayah bebas).

“Saya serahkan kepada mereka untuk berhujah tentang perkara ini. Jika ia mempunyai undang-undang, ia akan dilaksanakan.

“Apabila mereka menyertai Persekutuan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan terpakai. Kuasa tertentu tidak lagi berada dalam bidang kuasa negeri untuk menggubal undang-undang,” tegasnya.

Malik berkata, undang-undang tertentu yang wujud di Sarawak, juga yang wujud di Persekutuan akan dianggap undang-undang Persekutuan.

“Inilah hujah kami. Akta Pembangunan Petroleum (PDA) mengatasi Ordinan Perlombongan Minyak (OMO),” katanya.

Malik juga menegaskan, Sarawak tidak mengatakan bahawa PDA sebagai tidak sah tetapi menegaskan, ia tidak terpakai di Sarawak.

“Mereka hanya mengatakan PDA tidak terpakai di Sarawak, inilah yang kita bahaskan. Sejak 1974 hanya terdapat satu skim pengawalseliaan tunggal (PDA) sehingga 2018 mereka (Sarawak) membuat permintaan.

“Pandangan peribadi saya, ia bukan sesuatu yang boleh ditangani oleh mahkamah tinggi tetapi tertakluk kepada apa yang dikatakan oleh mahkamah,” jelasnya.

Malik berkata, Sarawak menegaskan OMO adalah undang-undang yang sah dan Sarawak berhak untuk menguatkuasakan mengikut undang-undang tersebut.

“(Tetapi) kami mengatakan kuasa mengawal dan mengawal aktiviti huluan bermakna penerokaan dan eksploitasi minyak adalah sesuatu yang berada di bawah bidang kuasa Parlimen semata-mata. Jika itu betul, itu bermakna kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan.

“Khususnya, melihat bahawa bidang minyak dan gas yang hilang di persekutuan hanya Parlimen sahaja yang boleh membuat undang-undang.

“Apa yang diperkatakan Sarawak ialah, OMO bukanlah undang-undang yang berkaitan dengan bidang minyak dan minyak,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong menegaskan kes itu bukan mengenai mencabar Parlimen atau badan perundangan Sarawak dalam penggubalan undang-undang.

“Petronas hendak menyatakan di bawah Perlembagaan, Parlimen mempunyai kuasa eksklusif menggubal undang-undang mengenai aktiviti huluan petroleum.

“Isu ini bukan dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan, ia adalah tafsiran kehakiman oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

JC Fong menegaskan OMO 1958 merupakan undang-undang diluluskan oleh Majlis Negeri sebelum Malaysia dibentuk.

“Selepas wujud Malaysia, peraturan itu kekal sebagai undang-undang terpakai dan hanya sah di Sarawak,” tegasnya.

OMO, tambahnya, bukan mengenai minyak dan lapangan minyak. Ia berkaitan dengan pengawalseliaan penerokaan dan eksploitasi dan perlombongan petroleum di Sarawak.

“OMO merangkumi semua aktiviti ini di pesisir pantai dan pelantar benua. Jadi, secara ringkasnya, Petronas perlu mematuhi undang-undang negeri terutamanya dalam OMO dan Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

Selain JC Fong, barisan perundangan Sarawak merangkumi Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid, Timbalannya Saferi Ali dan pegawai undang-undang negeri Mohd Adzrul Azlan.

Manakala, Malik dibantu Khoo Suk Chyi dan Surendra Ananth.

Hadir sama di mahkamah, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Penasihat Undang-Undang PBB Datuk Awang Bemee Ali Basah dan pegawai khas Ketua Menteri Dr Muhammad Abdullah Zaidell.

Hasidah menerusi kenyataan ringkas kepada media berkata, mahkamah mendengar hujah-hujah pasukan guaman Sarawak yang panjang lebar.

“Doakan yang terbaik buat Sarawak.

“Kita berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa eksklusif dan asli untuk mendengar usul ini,” katanya.

Mahkamah bersidang kira-kira dua jam mulai 9.45 pagi dalam kes yang menyaksikan Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Kes tersebut pada asalnya didengar di mahkamah pada 12 Jun, tetapi ditunda ke semalam.

Petronas pada 4 Jun berkata, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum, serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.

“Petronas percaya penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah PDA.

“Petronas kekal komited untuk menyokong aspirasi Sarawak menyertai dalam industri minyak dan gas di negeri itu, selagi ia berada dalam rangka kerja PDA,” kata syarikat itu.

Advertisement