Anda di sini

Pemain remaja KBA membanggakan pada pertandingan antarabangsa MBA

Advertisement
 Ong (duduk tengah) bersama Johnny (kanan) dan pemain semasa sesi penilaian di Dewan Badminton Stampark.
PERKASA BADMINTON: Ong (duduk tengah) bersama Johnny (kanan) dan pemain semasa sesi penilaian di Dewan Badminton Stampark.

KUCHING: Pemain remaja Persatuan Badminton Kuching (KBA) mencatat keputusan membanggakan pada Pertandingan Badminton Antarabangsa MBA Ke-10 yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Enam daripada 16 ahli dalam skuad negeri berjaya mara ke perlawanan akhir untuk membawa pulang satu perak dan tiga gangsa pada pertandingan tersebut.

Acara peremuan bawah 16 tahun menyaksikan Karin Sophia Ng tewas 15-30 kepada Venosa Rakhadrisnan dari Selangor.

Karin sebelumnya menewaskan Serena Chin 25-30 dalam aksi separuh akhir sementara Jocelyn Tay tewas 22-30 kepada Loke YY dari Kelab Badminton Kepong pada peringkat separuh akhir kategori perempuan bawah 14 tahun.

Dalam aksi remaja lelaki, Bryan Ting dan Mohd Danish Hazriel masing-masing meraih gangsa selepas dikecewakan pemain Kelab Badminton Kepong, Bryan Tan dan Lou Hau Feng.

Bryan dan adiknya Ryan Ting bagaimanapun tersingkir pada peringkat suku akhir perseorangan remaja lelaki bawah 12 tahun.

Ketua Jurulatih Pembangunan Remaja KBA, Johnny Ng yang juga pengajar Panel Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan pencapaian dilakar pemain persatuan itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan agar pemain remaja terus diberi pendedahan dan bertanding secara kerap pada pertandingan bertaraf kompetitif untuk meningkatkan mutu permainan mereka.

Johnny turut merakamkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) atas sokongan diberikan terhadap KBA selama ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSS Dr Ong Kong Swee memuji pemain yang menyertai pertandingan tersebut semasa sesi pemilihan diadakan di Dewan Badminton Stampark, BDC baru-baru ini.

Advertisement