Anda di sini

MTUC sambut baik arahan menteri supaya periksa majikan

Advertisement

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik arahan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran supaya pasukan penguatkuasaan kementerian itu melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan majikan sentiasa mematuhi undang-undang buruh.

Timbalan Ketua Setiausahanya A. Balasubramaniam berkata insiden yang tidak diingini juga dapat dielakkan jika pemeriksaan berkala dilaksanakan.

“Selain itu, masalah seperti eksploitasi pekerja, pelanggaran undang-undang buruh dan pembayaran upah lebih rendah daripada sepatutnya, dapat diatasi,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata Seksyen 65 Akta Kerja 1955  jelas menyatakan bahawa pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mempunyai kuasa untuk memasuki tempat kerja tanpa notis dan melakukan siasatan mengenai perkara yang mereka anggap perlu seperti yang diperuntukkan dalam akta itu.

Balasubramaniam juga merujuk kepada laporan media baru-baru ini mengenai JTK mengesan beberapa pekerja asing tinggal dalam keadaan teruk semasa melakukan pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang.

Pangsapuri itu didakwa disewa oleh sebuah restoran untuk menempatkan kesemua lima pekerjanya.

Pengarah JTK Pulau Pinang Mohd Sazali Keteh dilaporkan berkata majikan terbabit telah melakukan kesalahan kecil seperti pengiraan gaji lebih masa yang salah dan gagal memaklumkan penggunaan khidmat pekerja asing.

Balasubramaniam berkata penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan kerana majikan tidak bertanggungjawab terus melanggar undang-undang buruh yang menyebabkan penyalahgunaan pekerja. — Bernama

Advertisement