KUALA LUMPUR: Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) meminta kerajaan menimbangkan moratorium untuk mengekalkan harga gas asli pada RM32.52 bagi setiap satu juta unit thermal British (mmBtu) bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
Kerajaan seharusnya peka terhadap aturan tarif khas berhubung keperluan tenaga untuk industri besi dan keluli tempatan, kata persekutuan itu dalam satu kenyataan semalam.
Menurut MISIF, ia sebagai maklum balas terhadap kadar baharu gas asli yang diumumkan Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia), pada 13 Jun, 2018.
Menurut Gas Malaysia, tarif asas purata gas asli yang berkuat kuasa akan disemak semula, meningkat RM0.17 bagi setiap mmBtu atau 0.52 peratus daripada RM32.52 bagi setiap mmBtu kepada RM32.69 bagi setiap mmBtu, untuk sektor bukan tenaga, termasuk pengeluar keluli di Semenanjung Malaysia dari 1 Julai, 2018, hingga 31 Disember, 2018.
Kadar baharu itu termasuk surcaj sebanyak RM0.77 bagi setiap mmBtu di bawah mekanisme Pelepasan Kos Gas (GCPT) yang diguna pakai untuk semua kategori tarif disebabkan oleh harga gas asli cecair yang lebih tinggi berbanding harga rujukan di dalam tarif asas sewaktu tempoh itu.
“Sejak empat tahun lalu, tarif gas asli meningkat lapan kali, daripada RM16.07 bagi setiap mmBtu kepada RM32.69 bagi setiap mmBtu, peningkatan yang mendadak sebanyak RM16.62 bagi setiap mmBtu atau 103 peratus,” kata MISIF.
Peningkatan yang membimbangkan sejak empat tahun lalu itu adalah keterlaluan untuk ditanggung pihak industri terutama industri besi dan keluli, yang menggunakan gas paling banyak dalam prosesnya,” kata MISIF dan menambah, isu tenaga berkaitan industri besi dan keluli sering kali dinyatakan dalam beberapa perjumpaan dan dialog dengan Suruhanjaya Tenaga dan Gas Malaysia.
“Peningkatan yang berterusan harga elektrik dan gas akan menyebabkan industri besi dan keluli Malaysia menjadi tidak kompetitif di pasaran antarabangsa,” kata MISIF.
Elektrik dan gas asli adalah utiliti penting untuk menghasilkan produk keluli yang juga komponen kos pengeluaran kedua tertinggi, tambah MISIF.
Menurut MISIF, industri keluli menggunakan kira-kira dua mmBtu setan gas asli bagi setiap tan aktiviti pembuatan keluli dengan kos gas tambahan yang ditanggung industri besi dan keluli adalah dianggarkan lebih RM107 juta di bawah tarif baharu berbanding kadar terpakai pada Mei 2014. — Bernama